Pendakwah dermawan, Ustaz Ebit Lew sudah tidak asing lagi di Malaysia dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tidak mengira bangsa, agama dan budaya.
Baru-baru ini dalam satu kenyataan yang dimuat naik oleh beliau di laman Facebook, Ebit Lew memaparkan seorang warga emas yang terlantar dan tidak bermaya ketika ditemui.

“Menangis rasa bila berjumpa uncle 66 tahun terlantar di jalan. Berpusing tidur macam sakit. Mata kesan macam ditumbuk. Tak mampu melihatnya. Kasihan sangat. Di umur begini entah apa cerita hidupnya. Ujian hidupnya.
“Dah lama terlantar di sini. Tidak bermaya langsung. Beberapa orang cuba berbual uncle tak nak jawab. Ada yang kata tak sihat akalnya. Syukur bila saya tanya padanya rezeki dia menjawab,” maklumnya dalam perkongsian itu.
Tambahnya, lelaki tua berkenaan kemudiannya dihantar ke rumah penjagaan di Seri Kembangan dan dibawa ke pusat kesihatan untuk berjumpa dengan doktor.
“Bila saya tanya uncle kita bawa ke rumah tinggal sana kemudian kita bawa doktor ubat uncle. Beliau setuju dan angguk-angguk. Dia sebut namanya dan umurnya walau tak jelas sangat.
“Terus bawa ke rumah jagaan di Seri Kembangan. Mandikan dan akan periksa sakit uncle ni. Kami akan bayar kos penjagaan setiap bulan ubatan uncle ni,” tambah kenyataan itu.

Selain itu, dia turut menjelaskan bahawa warga emas terbabit sempat memeluknya dengan erat sebelum berpisah. Sehubungan itu, beliau turut mendoakan kesihatan lelaki itu agar cepat sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa.
“Masa dukung nak letak atas kerusi roda di pusat jagaan tangannya tak nak lepas. Semakin kuat dipeluknya saya. Sedih pula. Terpaksa beberapa orang melepaskan pelukannya walau pejam mata.
“Semoga uncle cepat sembuh dan bersemangat yer. Begitulah ujian hidup. Saat datang tiada siapa peduli dengan kita. Rezeki dapat beri sedikit khidmat padanya. Saya sayang uncle walau kali pertama kita berjumpa.
Sumber: Facebook Ebit Lew