Serpihan Roket China Dijangka Terhempas Ke Kawasan Berpenduduk 31 Julai Ini
Serpihan roket angkasa lepas China dilaporkan bakal terhempas ke bumi beberapa hari akan datang dan serpihannya dijangka akan terhempas ke serata dunia, lapor Times of India.
Serpihan itu adalah sebahagian daripada roket Long March 5B China yang dilancarkan pada 24 Julai lalu.
Menurut Aerospace Corp, sebuah organisasi bukan untuk yang berpangkalan di El Segundo, serpihan itu dijangka akan memasuki ruang udara bumi secara tidak terkawal sekitar 31 Julai nanti.
Aerospace Corp meramalkan kebanyakan serpihan berkemungkinan akan terhempas di Amerika Syarikat, Afrika, Australia, Brazil, India dan Asia Tenggara.
Walau bagaimanapun, China menafikan roket yang bakal terhempas itu akan menimbulkan kebimbangan dan impak yang besar.
Roket seberat 2 tan metrik itu merupakan sebahagian daripada siri kemalangan tidak terkawal yang menonjolkan risiko perlumbaan angkasa lepas China semakin meningkat, selari dengan Amerika Syarikat.
“Disebabkan roket tersebut tidak terkawal, terdapat kebarangkalian bahawa serpihan akan jatuh terhempas ke kawasan yang memiliki 88 peratus penduduk,” ujar Aerospace.Corp.
Pada Mei 2021 lalu, sebuah lagi roket Long March telah terhempas di Lautan Hindi sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap agensi angkasa lepas China yang hilang kawalan ke atas roket yang dilancarkan.
Pelancaran terbaru ini adalah untuk menghantar modul ke stesen angkasa negara, termasuk pemacu untuk meletakkan kapal angkasa di orbit.
Jonathan McDowell selaku pakar pusat astrofizik mengatakan bahawa pemacu itu kini mati dan berada di luar kawalan agensi angkasa China.
Tambahnya, China menjangkakan serpihan itu akan jatuh di lautan, namun terdapat banyak kawasan berpenduduk padat dalam lingkungan di mana serpihan itu akan jatuh.
Sumber: Times of India