Siakap Keli
kanak-kanak malaysia paling ramai terbantut
Gambar: Hello Doktor

Kajian Sahkan Kanak-Kanak Malaysia Paling Ramai Terbantut, Ini Tips Elak Tumbesaran Terbantut

Tahukah anda, menurut kajian, sebenarnya kanak-kanak di Malaysia adalah yang paling ramai terbantut berbanding negara lain di luar sana.

Seiring waktu, kanak-kanak akan mengalami proses tumbesaran sebelum meningkat dewasa. Waktu ini, tumbesaran mereka begitu pantas lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah mencapai akil baligh.

Namun, ia juga bergantung kepada persekitaran dan pemakanan serta gaya hidup yang diamalkan oleh mereka kerana boleh membuatkan tumbesaran diri terbantut.

Jadi, bagaimanakah cara untuk mengelakkan daripada perkara ini berlaku? Untuk itu, mari kita ikuti perkongsian yang dibawakan oleh Hello Doktor di bawah.

Kajian Sahkan Kanak-kanak Malaysia Paling Ramai Bantut! Ini Tip Mudah Elak Tumbesaran Terbantut

kanak-kanak malaysia paling ramai terbantut
Gambar: Hello Doktor

“Malaysia mempunyai kadar kebantutan yang tinggi.” Kenyataan pahit ini merupakan salah satu dapatan kaji selidik yang dijalankan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) melalui program IMFeD For Growth (IMFeD). Salah satu faktor yang menyebabkan tumbesaran manusia menjadi perlahan ialah kurangnya makanan berkhasiat untuk kanak-kanak.

Presiden MPA, Dr Selva Kumar Sivapunniam berkata, Malaysia mempunyai antara kadar pembantutan kanak-kanak tertinggi di rantau ini, yakni 1 dalam 5 (21.8%) adalah kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah, dan sekitar 1 dalam 12 (8.2%) adalah remaja.

Mari lihat dapatan kaji selidik yang dibentangkan semasa program IMFeD For Growth – Meraikan 10 Tahun Usaha Memperkasakan Malaysia untuk Mengukur, Mengenal Pasti & Mengurus Tumbesaran Kanak-kanak di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Malaysia mempunyai kadar kebantutan paling tinggi

Pasti ramai ibu bapa tertanya-tanya, bagaimana untuk kenal pasti jika anak mempunyai masalah tumbesaran terbantut?

Menurut Dr. Selva Kumar, kanak-kanak dianggap bantut sekiranya ketinggian mereka terlalu rendah berbanding usia.

Malah, melalui kaji selidik yang dilakukan oleh IMFeD, kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran terbantut mempunyai ayah dengan ketinggian bawah 156 sentimeter.

Tambahnya, masalah tumbesaran terbantut dalam kalangan rakyat Malaysia wajar dipandang serius.

Ini kerana, kanak-kanak yang bantut bukan lagi berasal daripada keluarga di luar bandar sahaja, kini ia turut berlaku kepada keluarga di bandar, tanpa mengira status sosioekonomi.

Berikan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak, elak bantut

kanak-kanak malaysia paling ramai terbantut
Gambar: Hello Doktor

Sementara itu, Pengerusi IMFeD For Growth, Profesor Dr Lee Way Seah berkata, kekurangan zat makanan adalah faktor penyumbang terbesar kepada pembantutan kanak-kanak.

Pemakanan yang baik penting untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak pada semua peringkat, khususnya dalam tempoh usia 1-5 tahun, dan awal remaja (10-15 tahun).

Kekurangan nutrien penting seperti protein, kalsium dan vitamin D merupakan punca utama masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Sebab itulah, ibu bapa perlu berikan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, anak juga memerlukan mikronutrien seperti arginin dan vitamin K2 untuk pembentukan tulang yang lebih optimum. Jika tidak, mereka tidak akan mencapai ketinggian yang sepatutnya.

Tambah Dr. Selva Kumar, “Keadaan ini sangat membimbangkan kerana pembantutan dikaitkan dengan imuniti rendah, gangguan kognitif, penyakit kronik, dan pengurangan peluang sosioekonomi apabila dewasa kelak.”

Program IMFeD For Growth ini turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Berucap di majlis tersebut, Khairy menegaskan, kerajaan memandang serius kepentingan penjagaan kesihatan dan pemakanan sihat untuk kedua-dua ibu mengandung dan kanak-kanak.

5 cara mengelakkan masalah tumbesaran

Tidak dinafikan, makanan berkhasiat untuk kanak-kanak sangat penting untuk tumbesaran mereka. Selain itu, ada beberapa langkah lain yang boleh ibu lakukan untuk elakkan masalah tumbesaran manusia:

1. Berikan anak susu ibu sekurang-kurangnya selama 6 bulan

Susu ibu mengandungi hampir semua nutrien makro dan mikro untuk keperluan anak. Selain itu, susu ibu juga mengandungi kolostrum yang dapat meningkatkan daya tahan bayi. Atas sebab itu, ibu digalakkan untuk terus menyusukan anak secara eksklusif, sekurang-kurangnya selama 6 bulan.

2. Bekalkan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak

kanak-kanak malaysia paling ramai terbantut
Gambar: Hello Doktor

Kanak-kanak dan remaja memerlukan pelbagai nutrien untuk memastikan mereka dapat membesar dengan sihat. Sebagai panduan, gunakan kaedah suku suku separuh semasa menyediakan makanan.

Pastikan ¼ pinggan diisi dengan protein seperti ikan atau daging, ¼ lagi diisi dengan nasi, mi atau roti dan ½ pinggan dengan sayur-sayuran. Beri anak air kosong dan bukannya air bergula.

3. Amalkan gaya hidup yang sihat

Pastikan anak:

  1. Mendapat tidur yang mencukupi. Hormon tumbesaran dirembeskan ketika tidur, terutamanya sekitar 10 malam.
  2. Bersenam dengan mencukupi. Senaman yang kerap dapat membantu pembentukan yang lebih kuat dan sihat.
  3. Kurangkan ‘screen time’. Terlalu banyak menonton televisyen atau bermain telefon bimbit boleh menyebabkan anak terlepas masa makan.
  4. Jaga kebersihan. Basuh tangan sebelum dan selepas makan untuk mengelakkan penyakit. Kanak-kanak yang sering jatuh sakit mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah bantut.

4. Bawa anak untuk pemeriksaan doktor, pastikan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak

kanak-kanak malaysia paling ramai terbantut
Gambar: Hello Doktor

Pastikan bawa anak berjumpa doktor sekali setiap 6 bulan. Pemantauan perkembangan anak amat penting untuk memastikan mereka membesar secara normal.

Melalui pemeriksaan ini jugalah doktor dapat mengenal pasti tanda-tanda bantut dan cara untuk mencegah masalah tumbesaran manusia dalam kalangan kanak-kanak.

5. Pastikan kawasan rumah sentiasa bersih

Kebersihan persekitaran sangat penting untuk memastikan anak tidak bantut. Salah satu pencetus masalah bantut ialah kerap cirit-birit yang berlaku disebabkan bakteria dalam makanan. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah bersihkan kawasan rumah dan permainan anak sekerap mungkin.

Sumber: Hello Doktor

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.