Siakap Keli
PM Sepanyol Gesa Orang Ramai Berhenti Pakai 'Tie'
Kredit: Bloomberg

PM Sepanyol Gesa Rakyat Berhenti Pakai ‘Tie’ Demi Jimatkan Penggunaan Tenaga

PM Sepanyol Gesa Rakyat Berhenti Pakai ‘Tie’ Demi Jimatkan Penggunaan Tenaga

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa pekerja sektor awam dan swasta untuk hentikan pemakaian tali leher demi menjimatkan tenaga ekoran cuaca terik yang melampau, lapor Independent.

Inisiatif itu dilancarkan ekoran krisis gas yang melanda Kesatuan Eropah dan sebagai salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan dengan gas Rusia selepas berlakunya perang di Ukraine.

Menurut laporan, pada hari Jumaat lalu, suhu di Madrid mencecah sehingga 36°C dan 39°C di Seville.

Sewaktu sidang akhbar dijalankan, Perdana Menteri Sepanyol telah menegaskan bahawa dia tidak lagi memakai tali leher dan dia mahu para menteri dan pekerjanya melakukan perkara yang sama untuk mengurangkan terkesan daripada cuaca panas.

“Saya ingin anda semua ambil perhatian bahawa saya tidak lagi memakai tali leher. Ini bermakna kita semua boleh lakukannya untuk berjimat dari sudut tenaga.

“Saya telah meminta menteri, pegawai dan akan mengusulkan inisiatif ini kepada sektor swasta juga. Saya ingin menyarankan untuk tidak memakai tali leher sekiranya tidak memerlukan.

“Hal ini kerana, dengan cara itu, badan kita tidak mudah panas sekaligus dapat jimatkan tenaga yang amat penting untuk negara kita,” ujarnya dalam sidang akhbar.

Rancangannya itu bertujuan untuk memastikan orang ramai lebih sejuk dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kos tenaga ekoran penggunaan penghawa dingin yang makin berkurangan.

Pada tahun 2012, Jepun turut menggunakan inisiatif yang sama.

Negara itu telah memperkenalkan kempen Super Cool Biz yang menggalakkan pekerja pejabat memakai pakaian yang lebih sejuk pada musim panas.

Di UK, ahli politik dibenarkan untuk menanggalkan jaket sut mereka semasa berada di Dewan Rakyat ekoran gelombang panas baru-baru ini.

Sepanyol turut mengaplikasikan kerja secara hibrid malah meletakkan had penggunaan penghawa dingin dan pemanas haba di pejabat pada musim panas dan musim sejuk demi penjimatan tenaga.

Beliau turut berkata bahawa satu dekri penjimatan tenaga baharu akan diperkenalkan pada hari Isnin.

Sebahagian daripada rancangan itu termasuk langkah untuk menggalakkan perniagaan menutup pintu demi mengelakkan rasa sejuk penghawa dingin daripada terlepas.

Pada bulan Mei lalu, Suruhanjaya Eropah telah mengeluarkan rancangan bernilai RM953bn (£176bn) untuk meningkatkan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan penggunaan.

Rancangan itu untuk mengurangkan kebergantungan negara Eropah kepada sumber gas Rusia.

Jerman, salah satu negara yang dijangka paling teruk terkesan akibat pemotongan bekalan tenaga Rusia, mengumumkan ia akan memperkenalkan satu siri langkah – Hanover, di utara negara itu.

Siri tersebut hanya akan menawarkan pancuran air sejuk di kolam awam dan pusat sukan.

Sumber: Independent.co.uk

Nurfatihah Shahirah Azzuddin

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.