Saintis Beri Amaran, Pemanasan Global Boleh Cetuskan Perang Nuklear Menjelang 2070
LONDON – Saintis telah mengeluarkan amaran bahawa pemanasan global yang berterusan mampu mencetuskan perang nuklear, krisis kewangan dan wabak penyakit yang boleh mengancam kepupusan manusia menjelang tahun 2070, lapor Daily Mail.
Dengan suhu global yang terus meningkat, satu kajian baharu oleh para saintis ini telah memberi amaran awal mengenai bahaya yang menanti di mana manusia semakin hampir dengan ‘permainan akhir iklim’.
Penyelidik dari Universiti Cambridge mendakwa, pemanasan global boleh mencetuskan tiga aspek yang membawa kepada kemusnahan dunia iaitu perang nuklear, krisis kewangan dan wabak penyakit hingga manusia akan alami kepupusan menjelang tahun 2070.

Berdasarkan penemuan saintis ini, para penyelidik menyeru pihak berkuasa untuk mula bersiap sedia menghadapi ancaman tersebut.
Ketua bagi penyelidikan itu, Dr. Luke Kemp, itu berkata terdapat banyak sebab untuk mempercayai perubahan iklim boleh menjadi punca berlakunya bencana, walaupun pada tahap pemanasan yang sederhana.
Beliau menjelaskan, perubahan iklim telah memainkan peranan dalam setiap kejadian kepupusan besar-besaran.
Ia telah membantu kejatuhan empayar dan membentuk sejarah dunia. Malah dunia moden nampaknya telah disesuaikan mengikut niche iklim tertentu.
“Laluan kepada bencana tidak terhad kepada kesan langsung suhu tinggi, seperti kejadian cuaca ekstrem namun kesan buruk seperti krisis kewangan, konflik, dan wabak penyakit baharu boleh mencetuskan malapetaka lain dan menghalang pemulihan daripada potensi bencana seperti perang nuklear,” katanya.
Dalam kajian itu, saintis menggunakan pemodelan untuk menganggarkan apa yang akan berlaku akibat pemanasan 3 darjah Celcius.
Anggaran mereka menunjukkan bahawa kawasan haba melampau dengan suhu purata tahunan melebihi 29 darjah Celcius (84°F) akan meliputi dua bilion orang menjelang tahun 2070.
Lebih membimbangkan, menurut saintis, kawasan ini adalah antara yang paling ‘rapuh’ dari segi politik serta paling padat penduduk.

Profesor Chi Xu dari Universiti Nanjing berkata, purata suhu tahunan 29 darjah Celcius kini menjejaskan kira-kira 30 juta orang di Sahara dan Pantai Teluk.
“Menjelang 2070, suhu dan faktor sosial serta politik secara langsung akan menjejaskan dua kuasa nuklear dan tujuh makmal pembendungan maksimum menempatkan patogen paling berbahaya.
“Terdapat potensi yang serius untuk kesan yang berbahaya,” tambah beliau.
Para penyelidik mencadangkan bahawa penyelidikan diperlukan dalam empat bidang utama, yang dipanggil sebagai ’empat penunggang kuda’ dari ‘permainan akhir iklim’.
Empat aspek itu adalah kebuluran dan kekurangan zat makanan, cuaca melampau, konflik, dan penyakit bawaan vektor.
Sumber: Daily Mail