Wanita warga tempatan dilapor maut terjatuh dari tingkat 4 suria KLCC dalam kejadian pada malam tadi, tular di media sosial
Seorang wanita dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat empat pusat beli belah Suria KLCC pada malam tadi.
Memetik laporan Astro Awani, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 9.38 malam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang perempuan warga tempatan berumur 23 tahun.
“Semakan CCTV mendapati si mati berjalan seorang diri di aras empat (sebelum kejadian),” katanya.
Sementara itu, Suria KLCC Sdn Bhd telah mengesahkan mengenai kejadian itu menerusi satu kenyataan ringkas sebentar tadi.
“Dukacita dimaklumkan pihak pengurusan Suria KLCC mengesahkan seorang individu maut dalam insiden terbabit,” katanya.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai kejadian itu tidak dinyatakan.
Terdahulu, tular beberapa gambar dan video yang memaparkan seorang individu terbaring di atas lantai selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat.
Menerusi satu video yang tular, kelihatan beberapa orang petugas dan pengawal keselamatan sedang menutup mayat mangsa dengan menggunakan khemah.
Sebelum ini, kejadian yang hampir sama pernah berlaku di Suria KLCC pada April tahun lalu.
Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki dilaporkan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga pusat beli belah itu.
BACA: Seorang Jurulatih Penerbangan Maut, Seorang Lagi Cedera Pesawat Terhempas Di Ipoh
BACA JUGA: Wanita Terkejut Bil Hospital Ayah Sampai RM60K, Menyesal Tak Buat Benda Ni Awal-Awal
Sumber: Astro Awani