Siakap Keli
Rokok Seludup
Gambar via Bernama

Kastam Johor Rampas Rokok Seludup RM9.45 Juta, Rampasan Terbesar Tahun Ini

JOHOR BAHRU, 3 Ogos (Bernama) — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor berjaya merampas rokok seludup bernilai RM9.45 juta termasuk cukai, selepas menyerbu sebuah gudang di Kulai pada 23 Julai lepas, yang merupakan rampasan terbesar JKDM Johor tahun ini.

Pengarahnya Sazali Mohamad berkata lebih lapan juta batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama ditemukan tersembunyi di dalam kotak bertutup kanvas, dalam serbuan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Johor Bahru pada pukul 2.30 petang itu.

Katanya berdasarkan siasatan awal, rokok berkenaan dipercayai diseludup daripada Indonesia melalui jalan laut untuk pasaran tempatan dan pihaknya percaya rokok itu diseludup melalui pesisir pantai (jalan laut) kerana ada kotak ditemukan basah.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di sini hari ini beliau berkata kesemua rokok yang dirampas adalah bernilai RM3.8 juta dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai adalah RM9.45 juta.

Bagaimanapun menurutnya tiada tangkapan dilakukan semasa serbuan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu dalam kes berasingan JKDM Johor merampas 3,840 botol minuman keras selepas memeriksa sebuah kenderaan Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun di Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar, Nusajaya pada 22 Julai lepas.

Sazali berkata kereta yang dipandu oleh seorang pembantu sebuah kedai aksesori kereta itu ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai pada pukul 6.45 pagi.

“Minuman keras yang dipercayai tidak bercukai itu disembunyikan di bahagian belakang kenderaan, di kerusi sebelah pemandu. Ia diseludup untuk pasaran tempatan, dan kita turut mendapati nombor pendaftaran kereta itu turut dipalsukan,” katanya.

Beliau berkata individu itu dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan sebagai kerja separuh masa dan aktif sejak dua atau tiga bulan lepas.

— BERNAMA

Faiz Mustafa