Siakap Keli
projek ladang musang king bukan punca tragedi banjir
Gambar: Bernama

Projek Ladang Musang King Bukan Punca Tragedi Banjir Di Baling – MB Kedah

BALING, 3 Ogos (Bernama) — Projek ladang durian Musang King di Gunung Inas di sini bukanlah punca tercetusnya tragedi banjir aliran puing yang berlaku pada 4 Julai lepas di daerah ini sehingga mengorbankan tiga nyawa.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata tiada kolam takungan air projek ladang durian itu yang dikesan pecah seperti dakwaan pihak tertentu.

“Kalau ikut pakar yang mengemukakan laporan kepada agensi yang diketuai oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), tidak ada sebab (untuk mengaitkan) projek Musang King.

“Kolam Musang King tidak pecah, jadi itu hanya usikan daripada netizen dan orang ramai dengan fakta yang tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Bantuan Banjir Baling di Kampung Sadek dekat sini hari ini.

Beliau demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan penduduk Kampung Padang Empang dekat sini agar projek ladang durian itu dihentikan susulan tragedi banjir itu sehingga memusnahkan 17 rumah penduduk akibat dibawa arus deras.

Mengulas kejadian banjir di beberapa kampung di Mukim Baling semalam yang didakwa akibat aliran air dari Gunung Inas, Muhammad Sanusi berkata puncanya belum dapat dipastikan.

“Tunggu laporan KeTSA,” katanya.

Seramai 41 mangsa banjir membabitkan 12 keluarga dari lima kampung ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Baling setakat 8 pagi.

Menteri Besar Kedah itu juga berkata projek ladang durian Musang King di Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi, Sik akan diteruskan.

“Di Sik, ada jawatankuasa yang ditubuhkan… dah melawat semua tempat yang berisiko. Sik itu kawasan muka bumi tidaklah tinggi macam Gunung Inas… kawasan berbukit tetapi tak tinggi sangat. Jarak dengan kampung terdekat sekitar dua kilometer,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Sofea Shahira

There's always another side to every story

" "