Siakap Keli

airasia Super App Tawar Pekerjaan Sepenuh Masa Untuk Penunggang Gig – Pertama Di Rantau Asia

KUALA LUMPUR, 4 OGOS 2022 – Platform pelancongan & gaya hidup paling pesat berkembang di rantau ini, airasia Super App, telah menjadi yang pertama di Asia untuk menawarkan pekerjaan sepenuh masa untuk para rakan penghantar gig, sebagai sebahagian daripada komitmennya dalam memberikan mereka persekitaran kerja yang lebih baik dan kestabilan pekerjaan, di samping meningkatkan peluang pendapatan untuk mereka.

Semua rakan penghantar airasia food dan airasia xpress akan diambil bekerja secara sepenuh masa, berkuat kuasa serta-merta, membolehkan mereka untuk menikmati rangkaian penuh manfaat sebagai Allstar termasuk KWSP, PERKESO, perlindungan perubatan yang juga dapat dimanfaatkan oleh pasangan dan anak-anak, cuti tahunan, dan faedah perjalanan seperti skim Penerbangan AirAsia ID90 dan e-kupon.

Ini adalah tambahan kepada pendapatan terjamin sehingga RM 3,000 sebulan, latihan eksklusif penunggang airasia serta perlindungan kemalangan peribadi percuma. Para penunggang juga layak memperoleh insentif tambahan berdasarkan prestasi mereka.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata, “Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan para penunggang gig ini ke dalam keluarga besar kami. Seperti yang diketahui ramai, airasia sentiasa mengutamakan ahli masyarakat, dan kami percaya bahawa mereka adalah aset terbesar kami.

Ini terpakai di semua unit perniagaan Capital A, termasuklah airasia Super App. Sama seperti pengendali bagasi, krew kabin dan juruterbang kami adalah tulang belakang perniagaan penerbangan kami, pekerja gig ini adalah wira dalam operasi penghantaran kami.

Kami tidak percaya pada kakitangan kontrak dan kini akan bergerak ke arah menggaji semua penunggang sebagai pekerja sepenuh masa, menerima faedah yang sama yang diterima oleh setiap Allstar, di samping faedah terbaik daripada airasia food & airasia xpress masing-masing.

“Selama bertahun-tahun, airasia telah mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan di seluruh rantau ini. Dengan pengembangan kami sebagai sebuah platform aplikasi super, kami juga bergantung pada perkhidmatan penting pekerja gig untuk perkhidmatan gaya hidup seperti penghantaran makanan & bungkusan.

“Memberi pekerjaan sepenuh masa kepada penunggang gig kami adalah lebih daripada sekadar menawarkan faedah Allstar kepada mereka; ia adalah tentang menambah nilai kepada kehidupan dan laluan kerjaya mereka, membolehkan mereka untuk berimpian dan menjadikan impian itu kenyataan.

Dengan menjadi pekerja sepenuh masa, mereka adalah sebahagian daripada ekosistem Capital A yang lebih besar, di mana mereka akan mempunyai peluang untuk meneroka dan mengembangkan kerjaya mereka dengan lebih lanjut. Daripada penunggang penghantaran, mereka boleh menjadi krew kabin, juruterbang, penganalisis data, ahli pemasar digital, menjadi sebahagian daripada pejabat korporat dan banyak lagi.”

Sementara itu, penunggang airasia food, Muhammad Redzuan Mohammed Afni yang telah ditawarkan pekerjaan sepenuh masa baru-baru ini mengulas, “Menjadi sebahagian daripada keluarga Allstars merupakan satu keistimewaan dan saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada syarikat yang menjaga kakitangannya dengan baik.

Kini, saya mampu menarik nafas lega kerana mengetahui saya dapat menjalankan perkhidmatan penghantaran saya dengan pendapatan yang terjamin, kestabilan pekerjaaan, dan faedah lain yang membolehkan saya untuk menyara keluarga dan mendapatkan taraf hidup yang lebih baik.”

airasia food kini menawarkan perkhidmatannya di Malaysia, Singapura, Thailand, dan Indonesia, manakala perkhidmatan penghantaran airasia xpress kini tersedia di Malaysia, Singapura, dan Thailand.

Individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan penghantaran airasia boleh mendaftar melalui halaman ini.

Ikuti perkembangan terkini untuk segala-galanya daripada airasia Super App dengan mengikuti @airasiasuperapp di Instagram/Facebook atau @airasia di WeChat/Weibo untuk mendapatkan kemas kini terkini. Untuk pengalaman yang lancar dan dipertingkatkan, muat turun aplikasi airasia Super App anda daripada Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.

Amira

Love yourself.