Siakap Keli
lelaki singapura dituduh bunuh isteri
Kredit: Facebook & Google Maps

‘Saya Tidak Sengaja…” Lelaki Singapura Dibicara Di UK, Dituduh Bunuh Isteri

Sebuah mahkamah di UK sedang menjalankan perbicaraan ke atas seorang lelaki dari Singapura yang dituduh bunuh isteri sendiri dalam satu kejadian hujung tahun lepas.

Lelaki tersebut, F (bukan nama sebenar) berusia 51 tahun yang dibicarakan di Mahkamah Newcastle Crown pada Isnin mengaku tidak bersalah, sebaliknya berhujah bahawa dirinya ‘tidak sengaja’.

Imbas kembali, isterinya telah disahkan meninggal dunia di County Aparthotel, Newcastle pada pukul  7.32 pagi, 6 Disember tahun lepas.

Pihak mahkamah telah mendengar penjelasan kes yang berlaku ketika pasangan suami isteri tersebut sedang bercuti di UK.

Pembunuhan itu berkemungkinan berlaku selepas mereka kembali ke hotel pada awal pagi 6 Disember.

Beberapa jam selepas insiden itu, anak lelaki sulung mereka dikejutkan oleh satu panggilan telefon daripada bapanya yang mengatakan, “Saya telah menyakiti ibu kamu. Dia sudah tiada lagi,”

Kredit: Google Maps

Mahkamah mendengar bahawa apabila anak lelaki itu bertanyakan apa maksudnya, lalu F menjawab, “Dia sudah mati.”

Menurut pihak pendakwaraya, pihak polis tiba di hotel dan menemui jasad wanita tersebut di atas katil yang sudah tidak lagi bernyawa.

Hasil bedah siasat mendapati bahawa kesan kecederaannya adalah berpadanan dengan tindakan ditekup bantal.

F akhirnya ditahan oleh pihak polis. Semasa di balai polis di Newcastle, dia memberitahu pegawai, “Saya tidak sengaja. Saya hanya mahu dia untuk senyap buat seketika,”

Pembicaraan berlangsung

Pada hari Isnin, F tiba di kandang tertuduh dengan memakai baju sejuk berwarna kelabu dan mengesahkan nama dan tarikh lahirnya sebelum pembicaraan  bermula.

Seramai 12 orang juri mengangkat sumpah dan diberitahu untuk membuat keputusan berdasarkan bahan bukti yang dikemukakan di dalam mahkamah. Kes itu dijangka berlarutan lebih seminggu.

Mewakili pihak pendakwaraya, Peter Makepeace QC berkata, kedua-dua pasangan itu datang ke UK berikutan lawatan ke Dubai dan Eropah.

Semasa berada di Isle of Skye, sebuah pulau kecil di luar pantai Scotland, F terlibat satu kemalangan yang teruk pada 27 November, beberapa hari sebelum kejadian.

Dia tersandung dan terjatuh dari tebing curam semasa keluar berjalan-jalan dan berjaya berjalan kembali ke hotel mereka dengan bantuan staf.

Pihak mahkamah juga mendengar pada saat ambulans dipanggil, F diberi campuran ubat tahan sakit oleh paramedik sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Dia ditahan di hospital semalam dan discaj pada keesokan paginya sebelum pasangan itu meneruskan perjalanan mereka ke sekitar Scotland dengan menggunakan kereta sewa.

Di destinasi seterusnya di Inverness, F mendapati dia masih lagi merasa kesakitan yang disebabkan oleh kemalangan tersebut dan telah pergi ke hospital kedua untuk diperiksa sekali lagi.

Pasangan itu bertemu dengan anak sulung mereka di Edinburgh sebelum menuju ke Newcastle bersama-sama dengan menaiki kereta.

Pihak pendakwaraya berkata bahawa mereka sekeluarga telah menghabiskan masa bersama seperti pergi ke perlawanan bola sepak dan bersiar-siar.

Motif Pembunuhan

Kredit: Facebook

Menurut BBC, Fong telah terjatuh sebanyak tiga kali semasa percutian tersebut dan diperiksa lagi sekali di sebuah hospital berdekatan Newcastle.

Perjara ini menyebabkan isteri F memarahinya kerana tidak menjaga dirinya dengan baik.

Pendakwaraya Makepeace memberitahu pihak mahkamah bahawa isteri juga tidak gembira dengan tindakan tertuduh yang masih lagi merokok, walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

Selepas discaj, pasangan itu telah pulang ke hotel pada 12.17 pagi (6 Disember), mereka kelihatan memasuki bilik hotel dan itulah kali terakhir wanita itu dilihat masih hidup.

Tertuduh Mendakwa Tidak Memiliki Memori Sewaktu Kejadian Pembunuhan

Makepeace berhujah bahawa F mungkin telah berlutut berdekatan bahu isterinya untuk ‘mencapai kekuatan yang diperlukan untuk membunuhnya’, lapor BBC.

Walau bagaimanapun, F mendakwa dia ‘tidak memiliki apa-apa memori’ mengenai insiden pembunuhan itu dan tidak bertanggungjawab atas insiden tersebut.

Makepeace menolak hujah F dan berkata, seperti yang dilaporkan oleh BBC, “Dia hilang sabar, dia membentak dan dia mencekiknya sehingga mati, nampaknya untuk menghentikan dia daripada memarahinya atau mengomel, atau pun caranya untuk mendiamkan mangsa,”

Pembicaraan kes ini dijangka akan berlangsung selama seminggu dan pembicaraan masih diteruskan sehingga kini.

Sumber: Channel News Asia

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma