Purata 60 Meteor Per Jam, Saksikan Kemuncak Hujan Meteor Perseids 13 Ogos Ini
Orang ramai berpeluang untuk menyaksikan fenomena hujan meteor perseids yang dijangka berlaku bermula 17 Julai hingga 24 Ogos ini, kata Agensi Angkasa Malaysia dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Kemuncak kepada kepada fenomena itu pula dijangka berlakku pada awal pagi 13 Ogos 2022 dengan purata 60 meteor per jam yang dapat dilihat apabila keadaan langit gelap dan cuaca yang baik.
Kenampakan hujan meteor itu bagaimanapun kurang bagus berpunca daripada gangguan bulan hampir purnama semasa kemuncak ianya berlaku.

Hujan Meteor Perseids merupakan kejadian di mana titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus. Walau bagaimanapun, kemunculan tersebut juga boleh berlaku dari pelbagai arah. Fenomena ini berlaku pada setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari dan merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle.
Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya. Sewaktu komet itu mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas akan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.
Sisa dari tinggalan itu akan memasuki atmosfera Bumi dan kemudian terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
Agensi Angkasa Malaysia juga memberi beberapa tips untuk orang ramai yang berminat melihat fenomena tersebut.
Pertama, pastikan pencerapan dilakukan di kawasan yang lapang dan tiada halangan seperti bangunan tinggi, pokok atau rumah.
Kedua cuba dapatkan pemandangan langit yang luas. Jauhi persekitaran yang bercahaya, lebih gelap, lebih baik.
Seterusnya sesuaikan mata dengan tahap kegelapan selama 20 minit.
Anda jiga tidak perlu memfokuskan ke arab buruj Perseus sahaja untuk melihat meteor-meteor ini. Ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa sahaja.
BACA: Ada Rider Tak Jadi Mogok, Syarikat Tawar Bonus Tambahan 5 Hingga 7 Ogos Ini
Sumber: Agensi Angkasa Malaysia