Siakap Keli
Merrywati Jelaskan Sebab Bertudung Ketika Bersilat
Gambar: Merrywati Manuil

“Tiada Paksaan..,” Merrywati Jelaskan Sebab Bertudung Ketika Bersilat

“Tiada Paksaan..,” Merrywati Jelaskan Sebab Bertudung Ketika Bersilat

Beberapa minggu lalu, Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 telah berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan menyaksikan wakil negara beraksi dengan sangat cemerlang.

Antara yang mencuri tumpuan adalah pesilat wanita negara, Merrywati Manuil yang meraih pingat emas dalam Kategori Solo Kreatif Wanita selepas menumpaskan pesilat dari Indonesia, Puspa Arumsari.

Bagaimanapun, bukan saja aksi lincahnya yang mendapat perhatian tetapi pakaiannya juga turut menjadi bahan bualan ramai.

Gambar: Merrywati Manuil

Manakan tidak, Merrywati dilihat memakai tudung ketika pertandingan tersebut walaupun dia bukan beragama Islam.

Sedar ramai yang tertanya-tanya mengenai perkara tersebut, Merrywati tampil menjelaskan tindakannya memakai tudung menerusi perkongsian di Facebook semalam.

Menurutnya, dia memakai tudung kerana menghormati dan mengagumi silat walaupun tidak diwajibkan untuk memakai tudung.

“Banyak yang tertanya kenapa saya pakai tudung walaupun saya Kristian.

“Silat adalah warisan orang-orang Melayu. Saya sebagai orang bukan Melayu sangat menghormati, mengagumi dan mencintai silat.

“Walaupun tidak diwajibkan untuk memakai tudung tetapi saya lebih memilih untuk memakai tudung ketika pertandingan,” katanya.

Gambar: Merrywati Manuil

Dia juga turut menjelaskan bahawa tiada mana-mana pihak yang memaksanya untuk berbuat sedemikian.

“Tudung bukan sahaja wajib untuk menutup aurat bagi wanita Melayu tetapi bagi saya untuk nampak lebih sopan, kemas dan beradab semasa pertandingan.

“Semestinya tiada paksaan dari mana-mana pihak, saya belajar ilmu orang Melayu, sudah tentu saya mengikuti dan melakukan apa yang saya pelajari,” ujarnya.

Kejuaraan silat itu berlangsung selama enam hari dan disertai lebih 500 peserta dari 40 negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada, Vietnam dan Malaysia, lapor Bernama.

Sumber: Merrywati Manuil

Sofea Shahira

There's always another side to every story

"