Seluruh kabinet kerajaan Jepun telah dibubarkan, Sputnik melaporkan berdasarkan kenyataan daripada laporan agensi akhbar Kyodo.
Satu mesyuarat khas kabinet bermula pada pukul 11.30am waktu tempatan (10:30 am waktu Malaysia). Kerajaan baharu Jepun di bawah pimpinan Perdana Menteri Fumio Kishida dijangka akan diumumkan kemudian.
Asalnya, rombakan kabinet akan dijalankan pada awal bulan September, tetapi disebabkan terdapat seruan untuk mempercepatkan promosi konsep ekonominya “kapitalisme baharu”, terdapat keperluan untuk mengambil tindakan tersebut berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api.
Rombakan yang bersifat awal ini juga mampu membantu kerajaan baharu bagi melakukan persediaan awal untuk sidang parlimen. Oleh itu, Perdana Menteri memutuskan untuk mempercepatkan proses rombakan dalam kerajaan negara tersebut.
Penerimaan Penduduk Jepun Terhadap Kerajaannya
Sebelum ini, Bernama melaporkan Perdana Menteri Jepun telah merombak kabinetnya pada hari ini selepas mengalami kemerosotan dalam penerimaan rakyat terhadap kerajaan tersebut dan tempat abang mendiang bekas pemimpin Jepun, Shinzo Abe sebagai menteri pertahanan diganti.

Fumio Kishida telah mengetuai partinya untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya dewan atasan bulan lalu, beberapa hari selepas Abe ditembak mati oleh seorang lelaki yang berdendam dengan Gereja Penyatuan (Unification Church) sebelum ini.
Sejak itu, orang ramai mula meneliti hubungan gereja tersebut dengan ahli politik Jepun dan pengendalian ekonomi Kishida, menjadikan penilaian rakyat Jepun terhadap penerimaan kerajaan semakin merosot.
Penerimaan rakyat Jepun terhadap kerajaan mereka menurun sebanyak 13 peratus dalam tiga minggu kepada 46 peratus, menurut tinjauan yang diterbitkan pada hari Isnin oleh penyiar awam NHK.
Manakala satu lagi tinjauan oleh Yomiuri Shimbun yang menunjukkan penurunan lapan mata dari Julai kepada 57 peratus.
Tempat Menteri Pertahanan Diganti
Veteran politik Yasukazu Hamada dilantik sebagai menteri pertahanan — peranan penting memandangkan janji Kishida untuk meningkatkan belanjawan pertahanan bagi mengatasi ancaman China dan Korea Utara yang semakin meningkat.

Hamada, yang sebelum ini berkhidmat sebagai menteri pertahanan pada 2008-2009, telah menggantikan tempat abang Shinzo Abe, Nobuo Kishi yang kurang sihat dan menimbulkan kebimbangan.
Kishi juga baru-baru ini berikrar untuk “melakukan semakan secara menyeluruh” hubungannya dengan Gereja Penyatuan, selepas mengakui bahawa ahli gereja telah berkhidmat sebagai sukarelawan kempen.
Penglibatan Gereja Penyatuan dalam politik Jepun
Sejak kematian Abe sebulan yang lalu, media Jepun telah mendedahkan bahawa ramai penggubal undang-undang yang memerintah, terutamanya mereka yang pro-Abe telah menerima bantuan serupa daripada ahli Gereja Penyatuan.
Organisasi yang diasaskan di Korea pada tahun 1954, yang pengikutnya dikenali sebagai “Moonies”, telah mengesahkan bahawa ibu kepada lelaki yang disyaki membunuh Abe adalah seorang ahli.

Mengikut laporan, dia telah diisytiharkan muflis selepas membuat sumbangan sekitar 100 juta yen ($1 juta pada masa itu) kepada gereja tersebut.
Disebabkan itu, orang ramai juga berpecah kepada kumpulan yang menyokong dan membangkang keputusan Kishida untuk mengadakan pengebumian negara untuk Abe, perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat.
Sumber: Business Today