Pihak Zoo Gesa Wanita Ceroboh Kandang Monyet Buat Pemeriksaan, Khuatir Dijangkiti Virus Herpes
Seorang wanita yang dilaporkan menceroboh masuk ke dalam kandang monyet untuk mengutip syiling daripada parit kandang berkenaan mungkin telah dijangkiti virus herpes.
Menurut Daily Mail, wanita itu melompat ke dalam pagar pada malam Selasa bagi mencuri wang yang dibuang pengunjung ke dalam air bertujuan untuk mendapatkan nasib baik di City Park, Launceston di Tasmania.
Pihak berkuasa khuatir wanita itu mungkin dijangkiti virus herpes B yang boleh membawa maut melalui air dari monyet.
Kera Jepun atau dikenali sebagai monyet salji merupakan tarikan popular di zoo tersebut.

“Virus itu boleh disebarkan secara asimptomatik oleh monyet melalui cecair badan dan ‘fomit’. ‘Fomit’ merupakan bahan yang telah bersentuhan dengan virus, termasuklah air dalam kandang”, ujar Datuk Bandar Launceston Albert Van Zetten.
Selain itu, beliau turut menyatakan virus itu tidak dianggap sebagai risiko kepada monyet dan menunjukkan simptom yang serupa dengan kudis dan selesema pada manusia.
Tambahnya lagi, virus tersebut mampu membawa maut kepada manusia dengan lebih daripada 30 kematian yang direkodkan seluruh dunia dan hanya satu kes yang disahkan penularan dari manusia ke manusia.
Majoriti monyet di seluruh dunia membawa virus tersebut dan papan tanda yang menyatakan bahawa monyet tersebut telah dijangkiti juga telah dipasang.
Gejala jika telah dijangkiti virus tersebut ialah kebas, gejala seperti selesema (demam, sakit otot, sakit kepala dan keletihan), gangguan pernafasan, ensefalitis dan gangguan neurologi.
Penceroboh yang dirakam dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah digesa mendapatkan rawatan dengan kadar segera.
“Kami meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pencerobohan tersebut untuk menghubungi Polis Tasmania dengan segera.” katanya.
20 ekor monyet itu telah diberikan kepada Launceston oleh bandar Jepun Ikeda pada tahun 1980 dan sebagai timbal balas mereka menghantar 20 ekor kanggaru kepada mereka.

Majlis Pembandaran telah mempertimbangkan semula untuk menghantar semula monyet itu pada tahun 2000 apabila 11 daripadanya telah dijangkiti herpes B namun reaksi masyarakat telah mengentikan idea tersebut.
Hal ini adalah kerana risiko kepada manusia adalah rendah dan monyet tersebut disayangi ramai.
Sumber: Mail Online
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”