Siakap Keli
remaja tercampak dari jambatan
Gambar PDRM

Polis Johor Rampas Dadah, Sita Aset Sindiket RM1.1 Juta

JOHOR BAHRU, 11 Ogos (Bernama) —  Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah setelah merampas pelbagai dadah dan menyita aset yang mencecah nilai RM1.1 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar negeri ini, Selasa lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan yang dijalankan pada pukul 11.15 pagi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing serta seorang lelaki dan wanita tempatan berusia lingkungan 32 hingga 49 tahun yang dipercayai ahli sindiket berkenaan.

“Hasil serbuan di sekitar Iskandar Puteri dan Pekan Nanas, Pontian itu berjaya merampas pelbagai dadah termasuk syabu, ketamin dan pil erimin 5 yang dianggarkan boleh digunakan seramai 77,280 penagih dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata modus operandi sindiket yang mula aktif sejak Mac lepas itu adalah dengan menyewa pangsapuri mewah ‘gated and guarded’ untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah.

Katanya, turut disita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM463,598 melibatkan wang tunai, barangan kemas dan enam kenderaan pelbagai jenis.

Menurut Kamarul Zaman, saringan awal ke atas kesemua individu terbabit mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 25 (1) (n).

Menurut beliau sejak 1 Jan hingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor telah menahan 8,821 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.29 tan dadah bernilai RM11.21 juta serta menyita harta bernilai RM6 juta.

— BERNAMA

Faiz Mustafa