Siakap Keli
batu landasan lrt3 jatuh
Gambar: Peniaga Dilokasi via Majlis Perbandaran Klang

Batu Landasan LRT3 Jatuh Atas Khemah Pasar Borong, Tepat Kena Sayur

Beberapa serpihan batu dari landasan LRT3 dilaporkan terjatuh dan menimpa sebuah khemah pasar borong di Klang dalam satu kejadian jam 9.30 pagi tadi.

Menurut Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam satu kenyataan, pihaknya telah memaklumkan kepada pihak LRT mengenai kejadian tersebut dan kerja-kerja pembinaan dihentikan serta merta.

Dalam masa sama, MPK turut mengarahkan gerai yang terlibat di lokasi kejadian untuk tutup serta-merta.

“Sekitar jam 9:30 pagi, sewaktu kerja “hacking” oleh pihak Emrail Sdn. Bhd (EMSB), didapati sebahagian kepingan simen telah jatuh di atas kanopi kedai pasar.

“Kerja telah dihentikan dengan serta-merta dan pembersihan telah dilakukan,” merujuk kenyataan LRT seperti yang dilaporkan MPK dalam hantaran itu.

Gambar: FB MPK
Gambar: FB MPK

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan terhadap orang ramai dan peniaga dilaporkan berlaku sewaktu kejadian.

“Tiada kecederaan berlaku dan kerja kerja di atas trek adalah diluar jangka MPK,” tambah MPK dalam kenyataan itu.

Sementara itu, video insiden tersebut dirakam oleh peniaga yang berada di sekitar lokasi kejadian serta pegawai MPK bertugas dan turut dimuat naik dalam hantaran Facebook berkenaan.

Berdasarkan video, terdapat sebuah lubang besar di bawah binaan landasan tersebut yang dipercayai merupakan sebahagian simen yang terjatuh.

Manakala khemah peniaga yang terlibat pula, pecahan batu tersebut dipercayai menimpa di bahagian bumbung kanvas sebelum terbolos dan ‘mendarat’ tepat di atas selonggok sayur.

Rakaman gambar-gambar kejadian yang lain dimuat naik di laman Facebook MPK seperti pautan di bawah.

https://www.facebook.com/MPKCare/posts/pfbid036h2aXmQfvKDaX2AyzEiQXsEzhHTqMHcqcvqaBqVb5rs9T5dhMZ5QZhY6FMp1gsZNl

Serpihan batu kuil jatuh dari atas, timpa wanita hingga maut

Imbas kembali laporan terdahulu, satu kejadian hampir serupa melibatkan runtuhan batu turut pernah berlaku di sebuah kuil hingga menyebabkan seorang wanita terbunuh dalam kejadian kira-kira tiga bulan lalu.

Merujuk laporan sebelum ini, seorang wanita berusia 53 tahun maut selepas cedera parah gara-gara terkena serpihan patung batu yang terjatuh dalam satu upacara keagamaan di sebuah kuil di Ipoh ketika itu.

Keratan laporan terdahulu

Memetik Sinar Harian, nahas tersebut berlaku kira-kira 9:50 pagi semasa mangsa sedang mengikuti upacara keagamaan yang berlangsung di kuil tersebut yang terletak di Buntong.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, difahamkan serpihan patung batu yang jatuh tersebut mengakibatkan seorang mangsa parah selain dua lagi cedera ringan.

“Siasatan awal mendapati, serpihan patung batu itu terjatuh dari bahagian atas bangunan kuil dan mengenai kepala mangsa.

“Kejadian sama turut mengakibatkan kecederaan ringan kepada dua wanita lain yang berada di tempat kejadian,” katanya, memetik Sinar Harian seperti yang dilaporkan kembali oleh Siakap Keli.

Jelas Mior, meskipun sempat dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), bagaimanapun mangsa akhirnya disahkan meninggal dunia setelah menjalani rawatan kecemasan.

Katanya lagi, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Facebook Majlis Perbandaran Klang

 

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.