Wanita Nekad Batal Perkahwinan, Tak Boleh Terima Tunang Tukar Menu Vegetarian Senyap-Senyap
Seorang wanita nekad membatalkan perkahwinannya selepas mendapati tunangnya membatalkan semua pilihan makanan dalam menu vegan untuk tetamu tanpa pengetahuannya, lapor News.Au.
Wanita tersebut telah meluahkan rasa tidak puas hatinya itu melalui laman reddit miliknya.
“Tunang saya, 31 akan mengahwini saya, 25 tidak lama lagi.
“Tidak banyak perkara yang menjadi isu sewaktu merancang perkahwinan kecuali soal makanan. Saya dan keluarga merupakan vegan kerana memiliki sejarah masalah kesihatan.
“Namun, sebaliknya tunang saya dan keluarganya merupakan pemakan daging tegar dan saya okay sahaja,” luahnya.
Menurut wanita itu, dia memberitahu tunangnya bahawa dia ingin menambah beberapa pilihan vegan dalam menu namun telah dibantah.
Hal ini kerana, tunangnya mengatakan bahawa penambahan itu hanya akan membazir wang disebabkan ia bukan makanan yang sebenar.
Wanita itu turut menceritakan dia mengetahui tunangnya telah membatalkan semua pilihan vegan dan mengeluarkannya dari menu secara senyap-senyap beberapa hari selepas perbincangan tersebut.
Ekoran itu, dia berang lalu terus menuju ke tempat kerja tunangnya untuk bersemuka.
Tunangnya itu memberitahu bahawa idea untuk membatalkan semua makanan vegan itu adalah hasil daripada cadangan ibunya.
“Setelah dia berkata seperti itu, dia menyuruh saya pulang kerana saya telah membuat adegan tidak menyenangkan di pejabatnya.
“Pertelingkahan kami tidak hanya di pejabat namun melarat hingga ke rumah. Tunang saya terus mempertahankan dirinya malah mengatakan saya seakan-akan memaksa dia melakukan semua ini.
“Tapi, makanan berasaskan daging sudah terlalu banyak. Takkan saya tidak boleh mendapatkan empat atau lima pilihan vegan sedangkan saya yang membayarnya? ” luah wanita itu.
Ibu kepada tunangnya itu turut menghantar mesej dan mempertahankan keputusan anaknya itu dan mengatakan makanan vegan tersebut adalah pembaziran.
Ibu tunangnya itu turut menasihatinya untuk tidak memiliki mentaliti ‘wang saya dan saya yang bayar untuk itu’ kerana mereka bakal disatukan dengan ikatan perkahwinan.
Wanita itu turut menceritakan bahawa keluarga tunangnya itu telah kecewa dengan sikapnya dan ingin wanita tersebut berkompromi serta menyelesaikan masalah itu dengan baik.
Susulan daripada perbincangan kedua itu, wanita tersebut menceritakan bahawa mereka tidak dapat mencapai kesepakatan lalu membuat keputusan untuk membatalkan pernikahan.
Luahan perasaan wanita itu telah mendapat ribuan komen daripada pengguna laman Reddit.
“Demi Tuhan, jangan kahwini lelaki itu,” komen pengguna.
“Adakah cara yang lebih baik untuk memulakan perkahwinan dengan memastikan pengantin perempuan tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan pada hari perkahwinannya?” kata pengguna lain.
“Awak pasti nak kahwin dengan lelaki ini dan keluarganya? Mereka langsung tidak menghormati keluarga anda dan diri anda,” tulis orang ketiga.
“Saya telah memulangkan cincin dan membatalkan segala-galanya. Saya tidak dapat membayangkan diri saya hidup seperti ini lagi.
“Saya seakan-akan perlu berjalan di atas kulit telur untuk keluarganya dan membiarkan dia pada dasarnya mengatasi pendapat saya dan mempunyai kata putus tidak kira apa pun,” luah wanita itu selepas membatalkan perkahwinan.
Ramai yang telah memuji keputusannya itu.
“Baik untuk awak! Perkahwinan adalah mengenai kompromi dan ia tidak kelihatan seperti pasangan anda berminat untuk berkompromi atau membiarkan anda bersuara dalam sesuatu perkara,” komen seorang.
Sumber: News.Au
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”