Siakap Keli
Kredit: Unsplash & Oddity Central

“Dakapan Erat Membawa Mudarat”, Lelaki Disaman Rakan Sekerja, Peluk Kuat Sangat Sampai Tulang Rusuk Patah

“Dakapan erat membawa mudarat”, demikianlah yang terjadi apabila seorang lelaki disaman oleh rakan sekerjanya sendiri gara-gara peluk wanita itu dengan sangat kuat sampai tercedera dalaman.

Seorang wanita di China mengheret rakan sekerjanya ke mahkamah, selepas lelaki itu didakwa memeluknya terlalu kuat hingga tiga tulang rusuknya patah, lapor Oddity Central.

Kisah aneh ini berlaku pada Mei 2021, apabila pihak plantif yang merupakan seorang wanita daripada bandar Yueyang, wilayah Hunan, China sedang berbual-bual bersama rakannya di tempat kerjanya.  Pada satu ketika, seorang pekerja lelaki telah datang menghampirinya dan menyapa wanita itu dengan satu pelukan kuat yang didakwa mengakibatkannya menjerit dalam kesakitan.

Lelaki itu nampaknya telah memeluknya dengan kuat sehingga wanita itu terus berasa sakit di dadanya. Rasa sakit itu berterusan walaupun selepas waktu bekerja tamat. Walau bagaimanapun, wanita itu tidak mendapatkan bantuan perubatan dengan segera, sebaliknya memilih untuk menyapu sedikit minyak panas di dadanya dan tidur.

Gambar hiasan | Kredit: Unsplash

Lima hari selepas ‘dakapan terlalu erat’ itu, kesakitan pada dada wanita tersebut menjadi semakin melarat dan akhirnya, dia memilih pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Ujian X-ray mendapati bahawa tulang rusuknya patah, bukan satu namun rupanya tiga iaitu dua di sebelah kanan dan lagi satu di sebelah kiri.

Ekoran itu, dia terpaksa mengambil cuti yang mengakibatkannya kehilangan sebahagian pendapatan hingga terpaksa menghabiskan sejumlah besar wang untuk menampung bil perubatan dan perkhidmatan kejururawatan.

Wanita itu cuba mendapatkan pampasan

Semasa tempoh pemulihannya, wanita itu dilaporkan bertemu dengan rakan sekerja lelaki yang didakwa mematahkan tulang rusuknya secara tidak sengaja untuk cuba berunding mencari penyelesaian bagi masalah mereka. Walau bagaimanapun, mereka gagal mencapai kata sepakat disebabkan lelaki itu mendakwa bahawa dia tidak mempunyai bukti kukuh kecederaannya itu berpunca daripada pelukan mesranya.

Akhirnya, wanita itu memutuskan untuk memfailkan tuntutan mahkamah terhadap rakan sekerjanya  itu di Mahkamah Yunxi di Bandar Yueyang dan meminta pampasan atas kerugian kewangan yang ditanggungnya disebabkan ‘dakapan erat’ itu.

Kredit: Oddity Central

Keputusan sidang mahkamah

Sehubungan itu, pihak hakim mengarahkan lelaki berkenaan untuk membayar 10,000 yuan (RM6593.06) kepada wanita tersebut sebagai pampasan kerana tidak sengaja mematahkan tulang rusuknya hanya dengan memeluk erat.

Walaupun tulang rusuknya disahkan patah selepas lima hari, mahkamah menyatakan tiada bukti yang membuktikan bahawa wanita itu melakukan sebarang aktiviti berat yang boleh menyebabkannya patah dalam tempoh itu. Tambahan pula, terdapat testimoni atau kenyataan saksi dari rakan sekerja yang menggambarkan reaksi pedih wanita itu selepas dipeluk.

Kisah itu mencetuskan perdebatan ramai di media sosial di China, tetapi kebanyakan orang menyatakan simpati terhadap keadaan wanita itu dan menasihati orang lain untuk mengawal tindakan mereka ketika bertegur sapa dengan rakan sekerja.

Sumber: Oddity Central

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma