Sebuah keranda jenazah Kampung Polewali, Bone di Sulawesi Selatan terpaksa diusung menyeberangi sungai menuju ke tanah perkuburan untuk dikebumikan gara-gara jambatan runtuh, menurut laporan Indozone.
Kejadian menyayat hati itu berlaku pada Jumaat lalu semasa satu jenazah perlu dikebumikan di tanah perkuburan awam yang terletak di Awang Tangka, Kajuara kira-kira tiga kilometer dari kampung itu.
Menerusi sebuah video yang tersebar, kelihatan keranda jenazah itu diletakkan di atas gabus lalu ditarik menggunakan sebuah perahu untuk menyeberangi sungai yang lebarnya sekitar 80 meter.

Bagaimanapun, penduduk kampung agak kepenatan untuk membawa jenazah berkenaan ekoran arus sungai yang begitu deras akibat hujan yang melanda kampung itu.
Salah seorang penduduk kampung, Sartika Kahar berkata, jenazah terpaksa diusung menyeberangi sungai kerana jambatan di kampung itu musnah. Ia merupakan satu-satunya jalan ke tanah perkuburan tersebut.
“Di Kampung Polewali daerah pesisir tiada tanah perkuburan,” kata Sartika, memetik Indozone.

Dia berharap agar golongan atasan segera membaiki jambatan itu kerana ia memberi kesan ekonomi kepada penduduk.
Tambahan pula, kanak-kanak perlu ke sekolah setiap hari dan mereka terpaksa menggunakan perahu untuk menyeberangi sungai.
“Saya berharap semoga jambatan itu dibina secepatnya kerana majoriti penduduk adalah nelayan. Oleh itu, hasil tangkapan sukar untuk dijual ke luar kampung,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Polewali, Hamrun menjelaskan dia sudah mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri mengenai hal itu dan akan segera membangunkan jambatan sementara.
“Kami sekarang sedang berfikir untuk membina jambatan kecemasan dahulu kerana mempunyai dana kampung sebanyak RM18,179 untuk dibina,” katanya.

Hamrum juga menjelaskan bahawa jambatan yang bakal dibina itu hanya menggunakan kayu kerana ia tidak memerlukan banyak kos.
“Kami akan membina jambatan kecemasan dahulu sambil menunggu dana dari pihak atasan sebanyak RM605 untuk Kampung Polewali. Pembinaan akan dilakukan dalam waktu terdekat,” maklumnya.
Terdahulu, jambatan itu secara tiba-tiba runtuh sewaktu penduduk kampung membawa wanita sakit pada 5 Ogos lalu. Puluhan penduduk jatuh ke dalam sungai terbabit namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sumber: Indozone.id