Seorang bekas inspektor polis ‘tergamam’ apabila semua duit pencen persaraannya yang berjumlah RM226,151 lesap ‘dibawa lari’ oleh sindiket penipuan wang (scammer), lapor Thaiger.
Difahamkan, bekas inspektor yang tinggal di wilayah Lampang, Thailand itu menjelaskan dirinya dihubungi individu yang kononnya dari Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Negara pada 1 Jun lepas.
Dalam panggilan itu, sindiket berkenaan mendakwa bahawa nombor telefon milik bekas inspektor itu telah digunakan dalam jenayah talian komunikasi sebelum itu.
Justeru bagi mengelakkan dirinya didakwa ‘polis’, mangsa perlu menfailkan aduan polis dan mengikuti arahan yang terdapat pada Teamviewer, iaitu aplikasi yang memberikan akses kepada komputer dan telefon dari jarak jauh.
Dalam masa sama, mangsa juga diarahkan untuk menambah group LINE yang kononnya dipercayai untuk kegunaan polis bandar Chiang Rai.
Bagaimanapun tanpa disedari, kesemua duit pencen persaraannya yang berjumlah RM226,151 lesap begitu sahaja selepas memuat turun beberapa aplikasi yang disuruh oleh sindiket terbabit.
Menyedari terdapat sesuatu yang mencurigakan, mangsa kemudiannya menyemak kembali akaun banknya dan mendapati dirinya telah ditipu.
Menurut Thaiger, transaksi wang itu didaftarkan atas nama Mr. Phachhorn di bawah akaun bank Kiatnakin dan Mr. Rattanaphon dengan akaun Bank Bangkok.
Dalam pada itu, media Thai Rath pula menjelaskan bahawa bekas inspektor polis itu tidak menggunakan sebarang aplikasi perbankan dan akses teknologi.
Malah mangsa juga mengakui bahawa dirinya memang tidak mahir dalam menggunakan teknologi.
Sehingga kini, kes tersebut masih disiasat oleh pihak polis dan hukuman yang bakal dikenakan kepada sindiket tersebut juga sudah ‘tersedia’.
Guru rugi RM276,000

Imbas kembali laporan terdahulu, pernah berlaku satu kejadian hampir serupa melibatkan jenayah penipuan wang ke atas pekerja profesional bidang pendidikan dalam satu kejadian empat bulan lalu.
Menurut laporan Bernama, seorang guru wanita mengalami kerugian RM276,000 selepas menjadi mangsa Macau Scam, apabila ditipu kononnya dia didakwa melakukan kesalahan dan perlu membuat beberapa pembayaran bagi menguruskan kesnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Supt Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 41 tahun itu telah membuat pinjaman bank di samping meminjam wang daripada rakannya serta mengeluarkan wang simpanan untuk membuat pembayaran berkenaan.
Beliau berkata ia bermula apabila wanita itu dihubungi individu yang mengaku kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) awal bulan itu, yang memberitahu kononnya dia melakukan kesalahan kerana membeli ubat dalam kuantiti berlebihan.
Menurutnya panggilan itu kemudian kononnya disambungkan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak, dan ia disusuli dengan beberapa lagi tuduhan lagi sehingga wanita itu percaya dan bersetuju untuk memasukkan wang ke beberapa akaun.
Sumber: Thaiger