Siakap Keli
Tujuh syarikat malaysia forbes asia
Kredit: Pixabay & Forbes Asia

Forbes Asia’s Best Under A Billion 2022: Tujuh Syarikat Malaysia Berjaya Tersenarai

Tujuh syarikat Malaysia berjaya tersenarai dalam senarai Forbes Asia’s Best Under A Billion 2022.

Senarai tahunan itu menyenaraikan 200 buah syarikat awam Asia Pasifik dengan jualan kurang daripada AS$1 bilion dan memiliki pertumbuhan yang konsisten.

Tujuh syarikat Malaysia itu adalah CE Technology, D&O Green Technologies Bhd, Greatech Technology Bhd, Kim Loong Resources Bhd, Tashin Holdings Bhd, UG Healthcare dan ViTrox Corp Bhd.

Dalam senarai yang dikeluarkan pada Selasa (9 Ogos), Forbes berkata ini merupakan satu pengiktirafan kepada firma penyenaraian awam berskala kecil dan sederhana di Asia Pasifik yang berupaya bertahan meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Pihaknya juga berkata bahawa  walaupun syarikat berkaitan penjagaan kesihatan dan farmaseutikal kelihatan menonjol pada tahun lepas, pulangan selepas pandemik terhadap kehidupan seharian telah memberi manfaat kepada pembuat pakaian, pengusaha pusat beli-belah, restoran, elektronik pengguna dan syarikat hiburan, antara lain.

Kredit: Forbes Asia

Forbes berkata senarai tahun ini termasuklah 75 syarikat yang kembali dari tahun sebelumnya telah  mencerminkan daya ketahanan mereka dalam persekitaran yang cepat berubah.

Metodologi

Forbes berkata senarai itu bertujuan untuk mengenal pasti syarikat yang mempunyai prestasi mampan untuk jangka masa yang panjang, merentasi pelbagai metrik.

Daripada 20,000 buah syarikat dagangan awam di rantau Asia Pasifik dengan jualan tahunan melebihi AS$10 juta dan di bawah AS$1 bilion, hanya 200 buah syarikat sahaja yang dipilih untuk menduduki dalam senarai.

Syarikat-syarikat dalam senarai tersebut dipilih berdasarkan skor komposit yang menggabungkan rekod prestasi keseluruhan mereka. Skor ini mengambil kira aspek hutang, jualan dan pertumbuhan pendapatan setiap saham sepanjang tempoh satu dan tiga tahun fiskal terkini dan sebagainya.

Selain daripada kriteria kuantitatif, ciri kualitatif juga digunakan dengan mengecualikan syarikat yang mempunyai isu pengurusan yang serius, perakaunan yang dipersoalkan, tidak menjaga alam sekitar atau masalah undang-undang.

Syarikat di bawah kerajaan dan anak syarikat syarikat besar juga dikecualikan. Kriteria tersebut juga memastikan kepelbagaian geografi syarikat dari seluruh rantau.

 

Kredit: Forbes Asia

Pencapaian ini jelas memberi indikator positif terhadap prestasi perniagaan di Malaysia. Perkara ini tidak hanya tertumpu kepada permintaan domestik bahkan ia memiliki potensi yang lebih luas terhadap pasaran global.

Sumber: Forbes Asia via The Edge Market

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma