Lelaki yang baru-baru ini dilaporkan telah didakwa merosakan bendera Jalur Gemilang yang di pasang di beberapa kawasan pusat bandar telah berjaya ditahan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebentar tadi.
Difahamkan, suspek telah berjaya dikenal pasti dan diserahkan kepada pihak berkuasa di Balai Polis Dang Wangu untuk tindakan selanjutnya. Menurut laporan, suspek telah melakukan kerosakan pada bendera Jalur Gemilang dengan bertindak menggunting bendera tersebut.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 37 saat dalam aplikasi Tik Tok memaparkan seorang lelaki berbaju merah dan bertopi biru menggunting beberapa Jalur Gemilang yang dipasang di laluan pejalan kaki dipercayai di hadapan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di Jalan Ampang di sini.
Menurut pemilik akaun Tik Tok berkenaan, dia telah menegur perbuatan lelaki itu tetapi tidak diendahkan selain khuatir akan keselamatan diri ekoran pelaku didakwa memegang gunting.
Sumber: DBKL