Siakap Keli
letupan di masjid kabul
Gambar: BBC News

Letupan Di Masjid Kabul Sewaktu Solat Maghrib, Tiga Maut Termasuk Imam

Sebuah letupan dilaporkan berlaku di sebuah masjid di kawasan Khair Khana, Kabul, ibu negara Afghanistan dalam satu kejadian sewaktu solat Maghrib semalam, lapor BBC News.

Jurucakap Polis Kabul, Khalid Zadran berkata, letupan itu berlaku di Masjid Siddiqi yang terletak di barat laut bandar tersebut dan antara yang disahkan maut ialah imam, Amir Muhammad Kabuli.

Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dari Itali yang bertugas di Kabul memaklumkan, letupan itu mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga nyawa terkorban dan puluhan lagi tercedera.

“Buat masa kini, seramai 27 orang cedera dalam letupan itu termasuk lima kanak-kanak, salah seorang budak berusia tujuh tahun,” maklum NGO berkenaan dalam kenyataan di Twitter seperti yang dilapor BBC News.

Seorang pegawai perisikan Taliban pula memberitahu kepada pemberita bahawa jumlah mangsa yang dipercayai tercedera atau terbunuh adalah kira-kira 35 orang dan ia  mungkin meningkat.

Kata seorang saksi, letupan itu agak kuat hingga mengakibatkan tingkap di bangunan berhampiran masjid pecah, manakala pasukan perisikan pula turut menyiasat punca letupan di lokasi kejadian.

Masjid dipercayai berada dalam sasaran IS

Punca letupan tidak dinyatakan, namun seperti yang dilapor BBC News, masjid berkenaan dipercayai berada dalam sasaran gerakan Kumpulan Negara Islam (IS) yang muncul sebagai musuh terkuat Taliban.

Tambah jurucakap itu lagi, pasukan keselamatan tiba di tempat kejadian yang berada di kawasan kejiranan di utara Kabul dan mereka mengutuk sekeras-kerasnya terhadap letupan tersebut.

Dalam pada itu, seorang pelajar agama yang dilihat berada di luar masjid berkenaan menjelaskan kepada BBC bahawa dia melihat mayat-mayat bergelimpangan dan orang yang cedera, termasuk kanak-kanak yang menghadiri solat Maghrib di masjid itu.

Menurut BBC News, sehingga kini masih tidak jelas siapa dalang di sebalik letupan itu.

Terdahulu, seorang ulama pro-Taliban, Syeikh Rahimullah Haqqani yang merupakan kenalan rapat Taliban terkenal turut terbunuh dalam kejadian letupan bom di Kabul pada minggu lepas.

Bagaimanapun, dalam insiden itu, IS mengaku mereka bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

Pada bulan lalu juga, tiga pemimpin agama terkenal turut menjadi sasaran di bandar Kabul dan berlaku juga pembunuhan di bandar lain.

Sumber: BBC News

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.