Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia dipercayai ketika dalam jagaan pengasuhnya di Taman Cempaka, Ampang Jaya kira-kira pukul 6.35 petang Khamis, 18 Ogos 2022.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma melaporkan telah menerima pesakit yang merupakan seorang bayi berusia empat bulan selepas dibawa menaiki ambulans dari salah sebuah klinik di Pandan Indah kira-kira 6.30 petang semalam.
“Bantuan kecemasan telah diberikan, namun pesakit telah menunjukkan tanda-tanda kematian yang sudah lama. Pesakit disahkan meninggal dunia pada pukul 6.35 petang,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihak polis telah melakukan tangkapan terhadap seorang individu warganegara asing dipercayai pengasuh kepada bayi tersebut yang disyaki terlibat dalam tragedi tersebut.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah, keterangan awal suspek mengatakan si mati dalam keadaan sesak nafas kerana kain lampin dalam buai berada di muka si mati.
“Punca kematian masih dalam siasatan dan bedah siasat akan dilakukan pagi ini di Hospital Ampang,” jelasnya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 merujuk kepada kes penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.
BACA: Kanak-Kanak Maut, Disyaki ‘Angkara’ Amoeba Pemakan Otak, Naegleria Fowleri
Sumber: PDRM