Sempena Ulang Tahun Ke-58, PKNS Berikrar Untuk Terus Menyokong Pertumbuhan Sosioekonomi Selangor
Shah Alam, Selangor, 18 Ogos 2022 – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), yang diasaskan pada 1 Ogos 1964, telah diberi amanah untuk membangunkan pusat pertumbuhan baharu, membina kawasan perumahan yang berkembang pesat dan mampan, dan memajukan pusat perindustrian dan perniagaan di negeri ini. Kini 58 tahun kemudian, disokong oleh 13 anak syarikat, meliputi sektor perumahan dan pembangunan, hartanah, pembinaan, kejuruteraan pemborongan, peruncitan, perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan dan rekreasi, PKNS terus memainkan peranan menyokong pertumbuhan sosial dan ekonomi negeri Selangor berpandukan rancangan pemulihan yang menyeluruh.
Berbicara tentang sambutan ulang tahun PKNS yang ke-58 baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Mahmud Abbas berkata, “Sebagai cabang pembangunan Selangor, PKNS komited untuk menyokong usaha negeri ini mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang utama KDNK Malaysia.
Sambutan ulang tahun kami yang ke-58 memberi peluang untuk menekankan peranan PKNS sebagai organisasi yang beriltizam untuk menyokong pembangunan ekonomi Selangor menjangkaui bidang perumahan dan hartanah, dengan menceburi bidang perkhidmatan kontemporari yang amat diperlukan seperti penjagaan kesihatan, perdagangan dan inovasi.”
Melanjutkan komitmen untuk menggalakkan pertumbuhan sosioekonomi negeri, PKNS telah menyokong lebih 41,000 pemilik perniagaan menerusi pelbagai program sepanjang tempoh 27 tahun lepas.
“Dalam usaha untuk melanjutkan program semasa bagi usahawan, PKNS akan membina sebuah bangunan yang direka bentuk sebagai pusat sehenti untuk usahawan yang sedang meningkat naik di bawah program PKNS,” tambah Datuk Mahmud.
Dengan kira-kira 2,000 klinik di bawah Selgate Corporation, PKNS menetapkan sasaran untuk kumpulan itu membangunkan lebih banyak kemudahan penjagaan kesihatan, meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan dengan penyedia khidmat penjagaan kesihatan sedia ada, menilai kerjasama strategik dalam bidang pelaburan dan pegangan ekuiti dan juga dalam perkhidmatan pengurusan dan pentadbiran penjagaan kesihatan bagi kakitangan korporat; yang pada hakikatnya dengan matlamat menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Berbekalkan tekad untuk menyediakan kehidupan lebih baik untuk semua, PKNS merancang untuk membangunkan kemudahan bantuan kehidupan, bermula dengan pelancaran Hospital Selcare.
Dengan matlamat mencipta nilai bagi ekonomi negeri, membawa manfaat kepada rakyat Selangor dan komuniti bersasar secara umumnya, hospital tersebut akan memberi tumpuan memenuhi keperluan penduduk tempatan.
Daripada kemudahan penjagaan terkhusus kepada pelbagai kemudahan dan aktiviti sosial dan rekreasi, PKNS bertekad menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan penduduk dari segenap peringkat umur.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya yang timbul akibat pandemik dan faktor lain seperti inflasi, PKNS tetap yakin dengan rancangan pemulihan strategiknya yang terpelbagai.
“Penyumbang utama kepada rancangan pemulihan kami terletak pada pendekatan menyeluruh kami yang terpelbagai. Selain daripada tumpuan utama untuk membina rumah kediaman mampu milik, PKNS juga berusaha mengukuhkan kedudukan kami secara agresif dalam pelbagai sektor lain,” jelas Datuk Mahmud.
“Selangor kini mempunyai peluang keemasan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi. Sebagai agensi negeri, PKNS komited untuk memanfaatkan daya tarikan Selangor dengan membangunkan dan menambah baik infrastruktur negeri Selangor,” kata Datuk Mahmud Abbas.
Selangor menunjukkan tanda-tanda pemulihan pada 2021, dengan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 5% berbanding 2020.
Negeri ini kekal sebagai ekonomi terbesar di Malaysia dengan nilai tambah mencecah RM343.5 bilion, berbanding RM327.1 bilion pada tahun sebelumnya. PKNS yakin terhadap pendekatan menyeluruhnya untuk mengekalkan dan mengukuhkan pertumbuhan perniagaan sambil menyokong usaha Selangor menjadi pusat perniagaan dan pelaburan menarik bagi pelabur.
Mengenai PKNS
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (1964) sebagai sebuah badan berkanun dan agensi pembangunan untuk negeri Selangor.
Penubuhannya bertujuan memajukan negara selepas merdeka menerusi pengagihan ekonomi dan pertumbuhan sosioekonomi saksama, berpandukan dasar-dasar kerajaan untuk mewujudkan kestabilan, keharmonian dan keadilan sosial, terutamanya di negeri Selangor. Aspirasi ini dicapai dengan membina pusat pembangunan baharu, meneroka kawasan perumahan berdaya maju dan mampan, serta pembangunan pusat perniagaan dan perindustrian, di samping melaksanakan pelbagai aktiviti pelaburan.