Wanita Dilapor Maut, Terjatuh Dari Tebing Setinggi 100 Kaki Ketika Mendaki
Seorang wanita dilaporkan maut selepas terjatuh dari tebing setinggi 100 kaki ketika mendaki di Columbia River Gorge di luar Portland, Oregon pada Jumaat lalu.
Memetik laporan CNN, mangsa meninggal dunia selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Menurut Pejabat Syerif Daerah Multnomah, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 1.15 petang waktu tempatan.

Pihak bomba yang tiba terlebih dahulu di tempat kejadian mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.
Difahamkan, mangsa telah mendaki bersama rakan-rakannya di Multnomah Falls-Larch Trail dan ditemui sekitar 1.3 batu dari kawasan permulaan pendakian.
Sementara itu, mereka yang terkesan dengan kejadian tersebut telah diberikan sokongan emosi dan kesihatan mental.
Seorang pendaki lain yang datang bersama keluarganya berkata dia terkejut selepas mendengar mengenai dengan kejadian itu.

“Kami sangat terkejut mengetahui perkara itu berlaku di sini, saya doakan yang terbaik kepada mereka,” katanya.
Untuk pengetahuan, Columbia River Gorge ialah destinasi pelancongan popular di Pacific Northwest.
Ia menjangkau 80 batu panjang dan sehingga 4,000 kaki dalam.
Air terjun Multnomah pula terletak dalam kawasan gaung, yang merupakan tapak rekreasi semula jadi yang paling banyak dikunjungi di Barat Laut Pasifik dan menerima lebih dua juta pelawat setiap tahun.
BACA: Wanita Alami Detik Cemas Apabila Runtuhan Tebing Hempap Belakang Kereta
Sumber: CNN
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”