Ditemukan Berlumuran Darah Depan Rumah, Lelaki Mati Dipercayai Dibunuh
PERAK – Seorang lelaki berusia 58 tahun dipercayai telah dibunuh selepas mayatnya ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah rumah di Kampung Merua, hari ini.
Memetik laporan Utusan Malaysia, mangsa telah ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah oleh penduduk kampung sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata bahawa pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 11.15 pagi melalui Balai Polis Parit.
Susulan itu, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan menemui seorang lelaki terlentang di hadapan rumah dengan mempunyai kesan nyata luka pada leher atas hadapan.
“Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 58 tahun dan tinggal berseorangan di kediamannya dan belum berkahwin.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di antara pukul 6.30 petang semalam sehingga mangsa ditemukan orang kampung pada pukul 10.30 pagi tadi,” katanya.
Menurutnya lagi, mangsa telah ditemukan oleh seorang lelaki iaitu jiran sekampung yang datang ke rumahnya untuk meminjam pam racun sebelum membuat laporan polis, lapor Utusan Malaysia.
“Kali terakhir mangsa dilihat ialah pada jam 6.30 petang semalam ketika berdiri di luar rumah melaung dan melambai seorang penduduk kampung yang melalui jalan berhampiran kediamannya,” katanya.
Tambahnya, pihak polis menolak kemungkinan rompakan memandangkan wang tunai mangsa tidak diusik selain keadaan rumah yang kemas dan teratur.
Berikutan itu juga motif pembunuhan masih lagi dalam siasatan.
Kes tersebut diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat.
Sumber: Utusan Malaysia