Siakap Keli
lelaki ditembak dekat 10 rekod jenayah
Gambar: Bernama/Kosmo!

Lelaki Ditembak Jarak Dekat Hingga Maut Miliki 10 Rekod Jenayah Lampau Termasuk Culik

Seorang lelaki yang ditembak sebanyak lapan das dari jarak dekat hingga maut dalam kejadian di Klang tengah malam tadi dilapor memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk culik, merujuk laporan Kosmo! hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, pada asalnya mangsa baru turun dari kereta dan menuju ke pintu pagar rumahnya di Jalan Bawal Tambak 1, Taman Sri Gadong sekitar jam 12:17 tengah malam.

“Semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati mangsa sedang turun dari kereta jenis Volkswagen Passat dan menuju ke pagar rumahnya.

“Kemudian sebuah kereta jenis Nissan Almera berhenti di tepi jalan dengan tiga suspek lelaki meluru ke arah mangsa dan melepaskan lima hingga lapan das tembakan dari jarak dekat,” maklum Cha Hoong, memetik Kosmo!.

Tidak cukup dengan lapan das tembakan, kumpulan individu terbabit turut menetak mangsa dengan parang sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta yang sama selepas itu.

Jelas Cha Hoong, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang individu yang mendakwa dirinya terdengar bunyi tembakan dan melihat mangsa terbaring di tepi jalan.

Bagaimanapun sewaktu anggota polis tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terbaring dengan kesan darah yang banyak sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan, lapor Kosmo!.

Miliki 10 rekod jenayah lampau

Sementara itu, seperti yang dilapor Kosmo!, mangsa mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah lampau termasuk melibatkan jenayah berat seperti culik selepas semakan dilakukan.

“Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menemui beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” maklum Cha Hoong menerusi Kosmo!.

Sementara itu, seperti yang dilapor Bernama siang tadi, pihak polis juga turut memburu tiga lelaki terbabit yang disyaki terlibat dalam kes bunuh tersebut.

Sehubungan itu, beliau  meminta orang ramai menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohamed Syahrir Zabidi di talian 012-26650895 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu.

Sumber: Kosmo!

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?