Atlet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Nazrol Hakim Che Sharuji berjaya memecahkan rekod apabila menamatkan perlumbaan penuh IRONMAN Malaysia Langkawi 2026 dalam masa 9 jam 57 minit 27 saat.
Catatan luar biasa bawah 10 jam itu turut melayakkan beliau dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia bagi edisi kali ini.
Mengharungi jarak keseluruhan 226.2 km tanpa henti, beliau perlu menyelesaikan tiga disiplin sukan yang mencabar iaitu renangan laut terbuka sejauh 3.8 km, kayuhan basikal berbukit 180.2 km dan larian maraton 42.2 km.
Kesemua cabaran itu perlu ditempuh di bawah terik mentari Langkawi, sekali gus menuntut ketahanan fizikal serta kekuatan mental yang luar biasa.
Atlet TLDM Pecah Rekod IRONMAN

Bukan sekadar mencatat masa bawah 10 jam, Nazrol Hakim turut meraih tempat Naib Juara bagi kategori umur M30-34 daripada 64 peserta antarabangsa serta menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan.
Dalam perkembangan sama, TLDM turut melakar sejarah apabila menghantar kontinjen seramai 11 atlet, jumlah terbesar sejak acara IRONMAN diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2000.
“Syabas dan tahniah buat LK PLM (PKL) Nazrol Hakim Bin Che Sharuji serta seluruh kontinjen TLDM.
“Anda bukan sahaja mengharumkan nama perkhidmatan, malah membuktikan semangat juang anak Malaysia mampu menggegarkan pentas dunia,” ucap TLDM.

