Seorang ibu tidak menyangka anak lelakinya sedang membantu seorang lelaki warga emas memotong kuku ketika menunggu sesi latihan bola sepak.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna akaun @cikjah_pekjah berkata, dia pada mulanya melihat anaknya dalam keadaan membongkok dari jauh ketika datang mengambil anak terunanya selepas latihan bola sepak.
Namun, sebaik menghampiri tempat tersebut, barulah dia menyedari anaknya sedang membantu seorang pakcik memotong kuku.

Perkara itu membuatkan ibu berkenaan berasa terharu dan berharap anak lelakinya terus membesar sebagai insan yang baik.
“Pegi amik anak teruna training bola, dari jauh nampak dia terbongkok-bongkok. Ingat dok buat apa, rupanya dia tengah tolong seorang pakcik ni potongkan kuku. Semoga terus jadi orang baik, wahai anak lelakiku,” kongsinya.
Perkongsian tersebut turut menarik perhatian pengguna Threads lain yang rata-rata memuji sikap prihatin anak berkenaan serta cara ibu bapanya mendidik.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna akaun @moranbiyya memuji sikap anak tersebut dan menyifatkan didikan ibu bapanya sebagai antara faktor yang membentuk keperibadian baik itu.
“Hebat adik ni, ibu bapa yang baik juga dapat mendidik anak yang hebat macam ini,” katanya.
Sementara itu, @sarahjoecliff pula berkongsi pengalaman yang mengingatkannya kepada ibu bapanya di kampung yang turut memerlukan bantuan untuk memotong kuku.
“Alahai, budak lelaki yang baik. Rindu pula mak dan ayah saya di kampung. Mereka selalu minta saya potongkan kuku kerana sudah berusia, penglihatan tidak begitu jelas dan sukar membongkokkan badan, terutama untuk memotong kuku kaki,” komen pengguna itu.
Seorang lagi pengguna, @ini.shidylaa, turut memuji sikap empati anak berkenaan selain berharap dia terus membesar sebagai anak yang soleh dan berjaya.
“Sejuknya perut ibu mengandung! Bukan senang nak jumpa anak muda yang mempunyai empati tinggi macam ini. Terbaik didikan ibu bapanya, semoga terus membesar menjadi anak yang soleh dan berjaya di dunia dan akhirat,” responnya.
Dalam pada itu, @ahmadfaiz_1606 turut menitipkan doa agar anak tersebut dikurniakan kecemerlangan di dunia dan akhirat.
“Bagusnya. Semoga dikurniakan kecemerlangan dunia dan akhirat,” doanya.

