Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhasrat memanfaatkan ilmu serta hasil kajian tesis Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) beliau bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif Kampung Digital di negeri itu.
Menurutnya, usaha berkenaan khususnya akan memberi tumpuan kepada pendigitalan alamat kampung tradisional di seluruh Melaka.
Beliau berkata, ilmu yang diperoleh tidak seharusnya terhenti sebagai pencapaian akademik untuk mendapatkan segulung ijazah, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu menyelesaikan masalah dan membawa perubahan kepada masyarakat.
“Insya-Allah, ilmu dan hasil kajian menerusi tesis DBA (Doktor Pentadbiran Perniagaan) saya yang bertajuk 'Pengurusan Teknologi Digital Dalam Kalangan Komuniti Kampung Tradisional: Analisis Inisiatif Kampung Digital Melaka' akan terus saya manfaatkan bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif Kampung Digital, khususnya usaha mendigitalkan alamat kampung tradisional di seluruh Negeri Melaka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negeri, agensi kerajaan serta rakyat atas ucapan tahniah, doa dan sokongan susulan penganugerahan ijazah DBA oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.
Katanya, segala sokongan dan penghargaan yang diterima menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berkhidmat kepada rakyat Melaka dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
“Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik seluruh rakyat Melaka yang sentiasa menjadi sumber inspirasi dan kekuatan. Terima kasih semua,” katanya.
Untuk rekod, Ab Rauf merupakan antara 14,311 graduan yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen UKM Ke-54, baru-baru ini.

