Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ab Rauf Pertimbang Lantik Wakil PN Sebagai EXCO Melaka

exco
Kredit: Bernama

Pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat, termasuk kemungkinan melibatkan wakil daripada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu masih dalam pertimbangannya dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.

“Bila saya hendak lantik nanti, saya akan panggil media. Ia ibarat dekat tidak sejengkal, panjang tidak sedepa. Tunggu sahajalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua, hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya wakil rakyat PN turut diberi peluang menganggotai barisan EXCO Melaka sekiranya kerjasama BN dan PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kemenangan BN dan PN dalam pilihan raya berkenaan diyakini mencerminkan penghargaan rakyat terhadap usaha serta prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang penggal lalu.

Menurutnya, keputusan pilihan raya itu menunjukkan rakyat membuat penilaian berdasarkan prestasi dan khidmat bakti kerajaan, bukannya dipengaruhi fitnah, tohmahan atau hasutan pihak tertentu.

Jelasnya, pelaksanaan pelbagai program mendekati masyarakat seperti Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari EXCO Bertemu Rakyat (HEBAT) dan Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat menjadi antara bukti komitmen pentadbiran negeri dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya yakin keputusan rakyat pada pilihan raya kali ini merupakan hasil daripada pengorbanan dan usaha kita yang dilihat sendiri oleh rakyat, sekali gus membuktikan kita sebuah pasukan yang dinamik.

“Kita adalah pasukan berprestasi tinggi yang sentiasa bekerja dan tidak mempedulikan halangan yang datang, sama ada fitnah, tohmahan ataupun hasutan. Kita terus bekerja untuk rakyat,” katanya.

Ab Rauf berkata keberkesanan pendekatan turun padang kerajaan negeri turut dapat dilihat menerusi kejayaan menyelesaikan kira kira 75 peratus daripada 4,000 aduan rakyat yang diterima melalui program WRUR.

Katanya, pencapaian itu bukan untuk kepentingan kerajaan atau wakil rakyat semata mata, sebaliknya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat yang memerlukan penyelesaian terhadap pelbagai masalah.

Intipati
  • Ab Rauf berkata pelantikan EXCO Melaka akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
  • Beliau masih mempertimbangkan kemungkinan melantik wakil PN dalam barisan EXCO negeri.
  • Ab Rauf berkata kerajaan negeri menyelesaikan kira-kira 75 peratus aduan melalui WRUR.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan