Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pernah Terbabas Masuk Sawah Di Perlis, Sikap Tun Hasmah Ketika Itu Buat Ramai Sebak

hasmah
Kredit: Bernama
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Walaupun terlibat dalam kemalangan sehingga kereta dipandunya remuk dan terbabas ke dalam sawah, perkara pertama yang ditanyakan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali ketika diselamatkan orang kampung bukanlah mengenai keadaan dirinya.

Sebaliknya, beliau terlebih dahulu ingin mengetahui sama ada penunggang motosikal yang hampir dilanggarnya itu selamat atau tidak.

Kredit: Threads @amofficialmy

Kisah berkenaan dikongsikan oleh pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad, @amofficialmy menerusi satu hantaran di Threads yang menceritakan pengalaman lama isteri bekas Perdana Menteri itu ketika bertugas di Arau, Perlis.

Menurut perkongsian tersebut, kejadian berlaku ketika Tun Dr Mahathir dan Tun Hasmah sudah mendirikan rumah tangga selama kira-kira 15 tahun.

Ketika itu, Tun Hasmah dalam perjalanan untuk bertugas di sebuah hospital di Arau sebelum sebuah motosikal tiba-tiba melintas di hadapan keretanya.

Bagi mengelakkan perlanggaran, beliau terpaksa memusingkan stereng sehingga kereta dipandunya merempuh sebatang tiang telefon sebelum terbabas masuk ke kawasan sawah.

Dalam keadaan separuh sedar, Tun Hasmah sempat melambaikan tangan untuk meminta pertolongan.

Kebetulan, sekumpulan penduduk kampung sedang melalui kawasan berkenaan ketika mereka menjalankan aktiviti gotong-royong mengusung sebuah rumah ke tapak baharu, satu amalan yang lazim dilakukan masyarakat kampung pada zaman dahulu.

Mereka kemudian segera membantu mengeluarkan Tun Hasmah daripada kereta yang sudah remuk.

Namun, perkara yang menarik perhatian ialah soalan pertama yang diajukan beliau selepas diselamatkan.

Tun Hasmah dikatakan bertanyakan keadaan penunggang motosikal yang melintas di hadapan keretanya tadi, walaupun individu berkenaan sebenarnya sudah melarikan diri dari lokasi kejadian.

Penduduk kampung kemudiannya menahan sebuah teksi untuk menghantar beliau ke Hospital Kangar bagi mendapatkan rawatan.

Setibanya di hospital, Tun Hasmah cuba menghubungi suaminya yang ketika itu berada di klinik, namun panggilan tersebut tidak berjaya disambungkan.

Rupa-rupanya, tiang telefon yang dirempuhnya dalam kemalangan itu sudah tumbang sehingga menyebabkan talian terputus.

Mujur pemandu teksi berkenaan mengambil inisiatif sendiri untuk pergi ke klinik Tun Dr Mahathir bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Menerusi kisah yang dikongsikan itu, Tun Dr Mahathir dikatakan terus menghentikan segala urusannya sebelum bergegas ke Kangar untuk menemui isterinya.

Apa yang lebih menarik, Tun Hasmah menceritakan kejadian tersebut kepada suaminya dengan begitu tenang sehingga Tun Dr Mahathir pada mulanya tidak menyedari betapa seriusnya kemalangan yang berlaku.

Bagaimanapun, beliau hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian dahi.

Perkongsian itu turut menyentuh fasa sukar kehidupan Tun Dr Mahathir ketika beliau baru dua tahun dipecat daripada UMNO.

Dalam kisah tersebut, Tun Dr Mahathir mengakui dirinya seorang yang cenderung menyimpan masalah dan tidak mahu membebankan isterinya dengan perkara yang boleh membuatkan wanita itu bimbang.

Namun, Tun Hasmah sentiasa menjadi sumber ketenangan, sokongan dan pemahaman buat suaminya ketika melalui tempoh sukar berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, kisah tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet yang tersentuh dengan sikap prihatin Tun Hasmah walaupun dirinya sendiri sedang berdepan kecederaan.

“Alaaa, kasihan Bonda... waktu itu mesti belum begitu cekap memandu. Lihatlah, keprihatinannya lebih tertumpu kepada orang lain berbanding dirinya sendiri. Membaca kisah ini pun sudah bergenang air mata mengenangkan kemuliaan seorang ibu negara yang disayangi rakyat jelata,” komen zahrinkelana.

“Mesti penunggang motosikal itu menyesal kalau dia tahu yang individu terlibat ialah Allahyarham Tun Hasmah,” kata n0ktveil.

“Ini benar-benar kisah yang belum pernah diketahui. Banyak kisah menarik tentang Tun yang saya sendiri baru tahu,” tulis yatt_wy.

“Memang Allah ciptakan dan jodohkan Tun berdua untuk saling melengkapi serta memahami antara satu sama lain. Pasangan yang bijak, beradab, profesional, komited dan amanah,” jelas rheanaveyra.

“Itulah dia Allahyarhamah Tun Hasmah. Dalam keadaan diri sendiri cedera pun masih menenangkan suami supaya tidak risau tentang dirinya. Isteri yang terlalu baik,” kata farfarawaykkl.

Sumber:Threads
Intipati
  • Tun Dr Hasmah dikatakan terbabas ke sawah ketika mengelak motosikal di Arau.
  • Selepas diselamatkan penduduk kampung, beliau bertanya keadaan penunggang motosikal terlebih dahulu.
  • Pemandu teksi memaklumkan kemalangan itu kepada Tun Dr Mahathir di kliniknya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan