Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyahut cabaran untuk menamatkan Ironman Langkawi dalam tempoh bawah 12 jam bagi membolehkan sumbangan RM200,000 disalurkan untuk menyediakan pendidikan dan tuisyen percuma kepada anak anak daripada keluarga kurang berkemampuan di Muar.
Menurut Syed Saddiq, cabaran tersebut dikemukakan PTTI yang komited menyediakan sumbangan berkenaan sekiranya beliau berjaya menamatkan perlumbaan Ironman dalam tempoh ditetapkan.
Beliau berkata, cabaran itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan peserta perlu menyelesaikan tiga disiplin iaitu renang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal sejauh 180 kilometer dan larian sejauh 42.2 kilometer.
“Kalau saya berjaya tamatkan bawah 12 jam, RM200,000 untuk tuisyen percuma bagi anak anak di Muo. Doakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Jelasnya, sasaran tersebut juga lebih mencabar berbanding pencapaiannya pada tahun lalu apabila beliau menamatkan perlumbaan dalam tempoh 13 jam.
Dalam satu siaran langsung yang dikongsikan menerusi Facebook @teamsaddiq malam tadi, PTTI memaklumkan bahawa pihaknya menjadi antara pihak pertama yang memberikan komitmen RM200,000 menerusi cabaran berkenaan.
Menurut perkongsian itu, PTTI turut mengajak lebih banyak syarikat dan jenama untuk bersama sama menyahut cabaran tersebut dengan memberikan sumbangan yang boleh memberi manfaat kepada warga Muar.
Bantuan berkenaan tidak terhad kepada pendidikan dan tuisyen, malah boleh disalurkan dalam bentuk peralatan sukan atau bakul makanan, katanya.
“Semua ini demi Muar,” menurut perkongsian tersebut.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut berkongsi bahawa usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk memberikan manfaat kepada masyarakat di Muar.
Terdahulu, beliau turut berkongsi laporan mengenai RM800,000 yang dikaitkan dengan Larian Kesyukuran Muar menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, laporan audit berhubung perbelanjaan dana berkenaan turut dibentangkan kepada rakyat bagi menunjukkan ke mana setiap ringgit disalurkan.
Syed Saddiq berkata, cabaran Ironman kali ini bukan semata mata mengenai pencapaian peribadi, sebaliknya turut membawa misi untuk membantu anak anak Muar mendapatkan peluang pendidikan yang lebih baik.
Ujarnya, beliau mengharapkan sokongan dan doa orang ramai bagi mencapai sasaran menamatkan Ironman Langkawi dalam tempoh bawah 12 jam.

