Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dalam satu perhimpunan di bangunan PWTC pagi tadi, seluruh ketua-ketua UMNO di seluruh Malaysia berhimpun bagi menyatakan perkembangan ringkas berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, pihaknya dikejutkan dengan panggilan malam tadi yang menuntut semua ketua-ketua UMNO Malaysia untuk hadir ke PWTC bagi satu pertemuan khas kira-kira jam 11 pagi tadi.
Tambah Jamal, perhimpunan itu bertujuan untuk melihat kesiapsiagaan jentera pilihanraya di tiap-tiap bahagian dan membincangkan persediaan serta keperluan PRU.
Perjumpaan yang dihadiri seramai 158 orang itu membahaskan pandangan dan pendapat tentang PRU ke-15 yang mungkin akan diadakan dalam waktu terdekat, namun masih belum diketahui.
“Selain Ahmad Zahid, mesyuarat tergempar itu turut disertai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,” kata Jamal.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menyertai mesyuarat tersebut kerana terikat dengan program lain.
Bagaimanapun, dalam persidangan itu, tiada sebarang desakan pembubaran parlimen dan perbincangan tentang Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perhimpunan yang diadakan di PWTC itu selesai kira-kira pada jam 3.30 petang.

Terdahulu, memetik laporan Bernama, UMNO mengadakan mesyuarat tergempar melibatkan Ketua-ketua Bahagian di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.
Mesyuarat yang dipercayai bermula 12.30 tengah hari itu dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disertai Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Antara yang dilihat di lobi Menara Dato Onn itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Pengamal media mula berkumpul di lobi ibu pejabat parti itu seawal 11 pagi berikutan tular mesej memanggil ketua-ketua bahagian UMNO hadir mesyuarat tergempar berkenaan.
Menurut mesej tersebut, Ahmad Zahid dan Mohamad Hasan meminta Ketua-Ketua Bahagian menghadiri pertemuan khas berhubung satu perkara amat penting demi masa depan parti.
Sumber: Bernama TV