Cuaca China Panas Melampau, Udang Segar Hidup Dilapor ‘Masak’ Dalam Plastik Bungkusan
Seorang wanita di wilayah Henan, China terkejut apabila udang hidup yang baru sahaja dibeli di pasar dan diletak dalam plastik bungkusan ‘masak’ ketika dalam perjalanan pulang dipercayai berpunca dari gelombang haba panas yang tinggi.
Memetik SCMP, wanita itu mendapati udang-udang tersebut mati dalam beg plastik berisi air lebih kurang selepas sejam selepas tiba di rumah. Dia membeli udang itu sekitar jam 9 pagi dan tiba di rumah lebih kurang satu jam kemudian.
Beberapa ekor udang telah bertukar menjadi merah terang seolah-olah dimasak dalam air yang mendidih apabila suhu di daerah itu mencecah hingga 41 darjah celcius pada hari tersebut.
“Ketika saya membelinya, udang-udang ini masih lagi dalam keadaan yang segar, masih hidup dan ‘menendang-nendang’.
“Ia mungkin disebabkan cuaca panas. Saya pernah letak beg plastik di atas tanah dan ia kelihatan melecur. Saya juga pernah letak di bahagian tempat duduk belakang basikal dan ia kelihatan mendidih panas.
“Dalam keadaan cuaca sebegini, lebih baik anda cuba untuk tidak keluar dari rumah. Hal yang terbaik adalah duduk dalam bilik dengan dilengkapi pendingin hawa,” jelasnya, lapor SCMP.
Menurut SCMP, video berkaitan udang yang masak dalam plastik tersebut menerima ‘carian’ yang paling banyak di China menerusi laman aplikasi Baidu pada Selasa lalu oleh kerana seluruh China, terutama di bahagian selatan mengalami gelombang haba yang berterusan.
Difahamkan, selatan China mengalami suhu yang luar biasa tinggi dengan bacaan purata hingga 38 darjah celcius. Sungai terbesar di negara itu, Yangtze dan dua tasik air tawar terbesar, Poyang dan Dongting telah mencatatkan paras terendah dalam tempoh enam dekad.
Pada Selasa lalu, Pusat Meteorologi Kebangsaan China mengeluarkan amaran merah suhu tinggi pada tahap tertinggi di bawah sistem amaran cuaca milik mereka kepada lapan wilayah.
Dalam pada itu, wilayah Sichuan, Chongqing, Shaanxi, Hubei, Jiangxi dan Zhejiang diberi amaran untuk menjangkakan paras cuaca panas akan meningkat kepada 40 darjah celcius atau mungkin lebih tinggi.
BACA: Ngeri, Tular Buaya Besar Heret Mayat Lelaki Berbogel, Padah Tak Hirau Papan Tanda Amaran
Sumber: SCMP