“Cuma aku rasa tertarik dekat nurse tadi. Dia hulur selimut tanpa bercakap” Lelaki Dedah Detik Seram Teman Ayah di Hospital
Setiap orang pasti pernah melalui pengalaman seram sepanjang hidup mereka, khususnya ‘diganggu’ benda yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
Sebut sahaja hantu, semua orang pasti berasa takut kerana ia sering dipertontonkan sebagai satu makhluk yang memliki wajah seram lagi menakutkan.
Tambahan pula, tidak dapat dibayangkan jika kita perlu merasai pengalaman seram itu seorang diri. Begitulah situasi seram sejuk yang berlaku kepada seorang lelaki sewaktu menjaga bapanya di sebuah hospital.
Cerita ini dikongsikan oleh seorang warganet bernama Syawal Ramadhani di Facebook Kumpulan Kelab Cerita Hantu Malaysia dalam satu perkongsian baru-baru ini.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mari kita ikuti kisah benar yang dilalui oleh lelaki berkenaan.
Pengalaman sewaktu menjaga bapa di hospital

Aku ada cerita nak share. Pengalaman aku temankan bapa di wad lelaki bersebelahan wad ortopedik. Letaknya atas bukit di kawasan lama bangunan ***** lama.
Masa tu dalam jam 10 pesakit semua dah tidur termasuk bapa aku. Aku tidur di lantai.
Ada satu nurse ni dia datang bagi aku selimut buat alas lantai. Aku tak ingat nama dia tapi muka dia mirip kawan aku.
Nurse tu shif malam. Dia berjaga tengok keadaan pesakit.
Jadikan cerita aku tak dapat tidur. Aku pun keluar dari wad dan menuju ke lereng bukit untuk hisap rokok. Gelap suasana masa tu tapi mendamaikan. Langit penuh bintang. Belah kiri ada pokok-pokok rendang. Memang gelap.
Aku tak rasa seram langsung persekitaran begitu. Cuma aku rasa tertarik dekat nurse tadi. Dia hulur selimut tanpa bercakap.
Sedang aku hisap rokok tu, aku toleh ke puncak bukit tempat bangunan wad berada. Nurse tadi duduk di luar wad dekat bangku panjang.
Aku rasa macam sayu je hati tengok nurse tu. Jadi aku pun naik ke wad dan cuba duduk di bangku tempat nurse tu duduk.
Aku rasa jarak kami ada dalam 5 meter. Bangku tu memang panjang. Laluan koridor sunyi tapi menenangkan jiwa. Dihiasi lampu lampu kalimantang. Damai menurutku.
Aku nak mula bicara dengan nurse tadi. Aku tengok dia duduk kat bangku tu sambil duduk termenung pegang jari manis. Ada sebentuk cincin di jarinya. Dia rindu tunang dia barangkali.
So aku pun tak jadilah nak sembang apa apa.
Aku duduk je la situ sampai dekat jam 2 pagi rasanya. Lama juga kami duduk kat situ tanpa borak apa apa. Nurse tu tiba-tiba bangun. Dia jalan ke depan perlahan lahan.
Depan tu kan lereng bukit. Dia jalan cun-cun sampai lereng tu dia terapung dan hilang.
Aku geleng kepala. Hmmm. Tak sampai lima saat aku lari masuk wad sembunyi bawah katil bapa aku seraya membaca alif ba ta alif ba ta. Aku gigil kuat.
Rupanya nurse yang asli ada dekat kaunter kat dalam wad. Dia tidur kat meja.
Dah tu siapa kawan aku duduk kat luar tadi?
Sumber: Facebook Syawal Ramadhani di Kelab Cerita Hantu Malaysia