Siakap Keli
kancil putih
Gambar: Says via Google

Lelaki Kongsi Detik Seram Diganggu Jelmaan ‘Kancil Putih’ Di Highway

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kisah misteri di sebalik jelmaan Kancil putih di sebuah lebuh raya ini dikongsikan oleh salah seorang individu ketika melalui laluan itu pada satu malam.

Setiap orang mesti pernah melalui detik-detik yang menyeramkan dalam hidupnya. Ia juga boleh menjadi titik hitam dalam hidup kita sehingga tidak boleh dilupakan.

Begitu juga kisah seram yang dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial di kumpulan Facebook Kelab Cerita Hantu Malaysia mengenai pengalamannya ketika melalui jalan itu.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut kisah yang menaikkan bulu roma ini, mari kita ikuti perkongsian beliau di Facebook Aidi Arijan sekarang.

USIKAN KANCIL DI LEBUH RAYA 

Aku merupakan seorang anak kampung yang terkenal dengan keropok lekor dan penyu di pantai timur sana, merantau ke Lembah Klang untuk mencari rezeki.

Disebabkan kampung aku kat Terengganu sana, sudah pasti laluan utamanya dua lebuh raya penting. Dua lebuh raya utama ni memang terkenal dengan cerita-cerita seram yang telah banyak dikongsikan oleh penggunanya dan aku salah seorang daripada pengguna yang pernah berdepan dengan situasi seram tersebut.

Kali ini aku hendak berkongsi pengalaman seram aku di lebuh raya pertama. Bagi pengalaman di lebuh raya kedua, aku kongsikan lain kali. Sebagai pengguna tegar dua lebuh raya utama ni untuk berulang-alik ke kampung halaman, aku biasanya memulakan perjalanan pada waktu lewat malam untuk mengelakkan kesesakan dan pemanduan yang lebih menenangkan.

Kebiasaannya aku akan memasuki lebuh raya ini bila jam sudah melebih angka 12 tengah malam. Kiranya aku suka lalu lebuh raya ni pada waktu awal pagi la.  Pengalaman yang aku hendak kongsikan ini terjadi lebih kurang dua tahun lepas. Bila mana aku meneruskan aktiviti ulang alik aku menggunakan lebuh raya tu awal pagi seperti biasa.

Selepas memasuki Tol Gombak, aku memandu dengan kelajuan sederhana untuk memastikan aku mematuhi had laju kebangsaan sambil melayan selekoh-selekoh yang ada. Keadaan trafik pada malam itu memang agak lengang. Hanya terdapat beberapa buah kereta mewah yang dipandu dengan laju memotong kereta aku.

Selepas selesa melayan selekoh, aku menghampiri satu kawasan yang terdapat gerai makan yang menjadi tumpuan pemandu-pemandu lori untuk berehat. Pengguna tegar lebuh raya ni pasti tahu kawasan ni kat mana kan.

Di hadapan aku ketika itu aku perasan ada sebuah kereta Kancil lama berwarna putih sedang gagah mendaki kawasan berbukit di situ. Kereta itu bergerak di laluan tengah dan sebagai menghormatinya, aku memotong di laluan kiri lebuh raya itu dan meneruskan perjalanan seperti biasa.

Selepas beberapa ketika aku memulakan pendakian di sebuah bukit dan untuk mengekalkan momentum pendakian, aku tidak mengurangkan kelajuan kereta aku. Melepasi saja selekoh pertama pendakian itu, aku perasan ada sebuah lagi kereta Kancil seperti yang aku pernah potong sebelum ini di lorong paling kiri.

Aku dah sedikit pelik, namun aku menganggap ianya kereta Kancil lain yang kebetulan sama warnanya. Aku memperlahankan sedikit kenderaan aku untuk melihat nombor plat Kancil tersebut sebagai langkah berjaga-jaga dan terus memotongnya sekali lagi. Tidak tergerak hati aku masa tu untuk melihat ke ruangan pemandunya.

Aku meneruskan pendakian dan penurunan aku dengan jayanya sehingga melepasi kawasan sebuah bukit. Lepas sahaja selekoh pertama menuruni bukit tu, aku dikejutkan sekali lagi dengan kehadiran Kancil putih untuk kali ketiganya. Aku dah mula betul-betul cuak. Satu cerita seram lagenda urban berkaitan laluan lebuh raya tersebut terus bermain di kepala otak ni.

Adakah Volkswagen kuning itu bertukar menjadi Kancil putih? Aku tidak terus memotong Kancil itu kali ini dan hanya mengikutnya daripada belakang untuk melihat nombor platnya. Sudah terbukti nombor platnya memang sama. Aku dah bertambah cuak dan terus memotongnya tanpa sekali lagi melihat ke arah ruangan pemandunya, ditambah pula dengan laluan itu agak gelap.

Aku sekali lagi cuba menenangkan diri sendiri dengan mengatakan aku tersilap melihat nombor plat tersebut dan mengurangkan sedikit kelajuan kereta aku kerana keadaan jalan yang memang berselekoh dan membahayakan. Melepasi selekoh di kawasan susur naik ke sebuah resort tu, tiba- tiba kelibat Kancil putih itu sekali lagi muncul di depan aku.

Kali ini aku cukup yakin itu kereta yang sama yang mempermainkan aku sebelum ini. Aku terus memperlahankan kereta aku dan cuba mengikut rapat Kancil tersebut dan benar nombor platnya masih sama.

Kali ini dengan sedikit keberanian, aku cuba mengikut kereta itu serapat mungkin tanpa memotong sehingga habis laluan berselekoh di kawasan tersebut. Memasuki kawasan berlaluan lurus, aku cuba memberi lampu tinggi kepada Kancil tersebut dengan harapan dapat melihat ke ruangan permandunya, tetapi apa yang aku perasan semacam tiada orang yang kelihatan di ruangan pemandu tersebut.

Aku mengulangi tindakan aku memberi lampu tinggi tu beberapa kali untuk memastikan apa yang aku lihat tu betul dan ia sememangnya betul. Tidak kelihatan sesiapa pun di ruangan pemandu Kancil tersebut, tapi ianya kekal bergerak dengan kelajuan sederhana.

Ketakutan kembali menguasai diriku. Aku yakin aku sedang mengalami gangguan daripada pengguna alam lain lebuh raya tersebut dek kerana keceluparan pemikiran aku sebelum memulakan perjalanan malam itu.

Aku bertekad untuk memotong Kancil itu lagi sekali dan cuba memerhatikan ke ruangan pemandu semasa sedang memotong tu. Aku meningkatkan kelajuan kereta aku dan terus memotong Kancil tersebut.

Ketika beriringan dengan Kancil tersebut, aku cuba melihat ke ruangan pemandu tersebut sekali lagi. Dalam kesuraman malam itu, apa yang aku dapat lihat memang membuatkan semua bulu romaku berdiri tegak, jantung aku berdegup kencang dan ketakutan yang amat sangat memenuhi perasaan.

Apa yang aku dapat lihat ketika itu kelibat makhluk berpakaian serba putih lengkap dengan bertudung putih sedang memandu Kancil tersebut. Aku dapat memerhatikan tudung putihnya melambai-lambai keluar tingkap keretanya yang dibuka separuh itu.

Pemanduan aku ketika itu hampir tersasar dek kerana rasa terkejut. Aku terus memotong Kancil tersebut dan meneruskan pemanduanku. Selepas seketika aku cuba melihat cermin pandang belakang untuk memastikan Kancil itu masih ada di belakang aku, tetapi melepasi satu selekoh Kancil tersebut sudah tidak muncul-muncul dalam pandangan cermin pandang belakang kereta aku.

Ketika itu aku dah berdoa moga Kancil itu tidak lagi muncul di depan aku sekali lagi. Selepas berapa ketika aku kembali memperlahankan pemanduan aku untuk menenangkan perasaan, selepas aku yakin setakat itu saja la gangguan untuk aku malam tu.

Ternyata aku silap besar, dikala aku memandu perlahan tersebut melepasi satu selekoh sebelum menghampiri stesen minyak yang ada di laluan lebuh raya tersebut, aku melihat Kancil tersebut muncul kembali di hadapan aku, tapi kali ini dalam keadaan berhenti di tepi jalan. Tanpa berfikir panjang aku terus memecut kereta aku melepasi Kancil itu.

Aku dah cukup yakin itu Kancil yang sama dan apa yang kembali menakutkan aku ialah kelihatan kelibat makhluk berpakaian serba putih tadi berdiri di sisi Kancil tersebut melambai-lambai ke arah aku seperti meminta pertolongan. Keadaan ketika itu sememangnya membuatkan aku tidak akan sekali-kali berhenti.

Melihat stesen minyak sudah berada di depan, aku mengambil keputusan untuk berhenti di situ dan betul-betul menenangkan diri. Aku sudah tiada keberanian untuk meneruskan perjalanan kerana takut Kancil tersebut dan ‘pemandunya’ itu berterusan menganggu aku. Setelah berjaya bertenang, aku terfikir kejadian yang aku lalui seketika tadi sememangnya agak pelik.

Aku perasan setiap kali aku berhadapan dengan Kancil misteri tersebut, memang tiada kenderaan lain yang melalui laluan tersebut sehinggalah aku memotongnya dan ia hilang daripada pandangan, baru ada kenderaan lain yang lalu dan memotong kereta aku.

Aku cuba melelapkan mata seketika untuk mengumpul keberanian sebelum meneruskan perjalanan. Alhamdulillah setelah berjaya lena ketika itu, aku meneruskan perjalanan dengan jayanya tanpa ada apa-apa lagi gangguan daripada Kancil putih tersebut.

Kejadian itu kekal meninggalkan tanda tanya pada diri aku sehingga sekarang. Adakah pemandu lain juga nampak Kancil putih yang aku nampak pada malam itu? Adakah aku memandu di alam lain ketika bertembung dengan Kancil putih itu membuatkan tiada kenderaan lain kelihatan waktu itu?

Semuanya masih menjadi misteri. Andainya masih ada Kancil putih itu menggunakan lebuh raya itu, sekarang aku berhajat untuk berdepan dengan pengalaman ini sekali lagi untuk merungkai misteri ini.

Sumber: Facebook Aidi Arijan di Kelab Cerita Hantu Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?