Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lelaki Kongsi Info "Anak Terengganu Yang Hilang 130 Tahun"
Malaysia sememangnya terkenal sebagai antara negara yang kaya dengan khazanah alam, menyimpan pelbagai 'permata hijau' yang tidak ternilai harganya.
Ada yang semakin sukar ditemui, malah ada juga yang disangka sudah hilang buat selama-lamanya.
Itulah nasib Asam Batu Raja atau Begonia rajah, sejenis tumbuhan endemik Terengganu yang pernah 'hilang' selama lebih 130 tahun sebelum akhirnya ditemui semula.

Lebih menyedihkan, selepas penemuan bersejarah itu, spesies berkenaan kini sekali lagi berdepan ancaman kepupusan.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang lelaki menerusi akaun Anak Umi Suka Hutan, yang mengajak orang ramai, khususnya anak jati Terengganu, menghargai khazanah unik yang menjadi identiti negeri itu.
Menurut perkongsian tersebut, Begonia rajah bukanlah tumbuhan biasa.
Ia diiktiraf sebagai antara spesies Begonia paling cantik di dunia, malah menjadi buruan peminat dan pengumpul tumbuhan dari pelbagai negara.
Keistimewaan tumbuhan itu jelas kelihatan pada corak daunnya yang unik serta urat daun berwarna hijau terang yang menyerlah.
Selain itu, bahagian bawah daun yang berwarna tembaga kemerahan, menjadikannya cukup mempesonakan.

Bentuk daunnya juga tidak simetri, sekali gus menjadikan spesies ini mempunyai identiti tersendiri yang sukar ditemui pada tumbuhan lain.
Apa yang menjadikan kisah Begonia rajah lebih istimewa ialah sejarahnya.
Spesies itu pertama kali direkodkan pada tahun 1892. Namun selepas spesimen asal diambil untuk tujuan penyelidikan, habitat semula jadinya gagal ditemui semula selama lebih satu abad.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai institusi penyelidikan dan pakar botani berusaha menjejaki lokasi asal tumbuhan tersebut, namun usaha mereka tidak berhasil.
Walaupun Begonia rajah masih boleh dibeli di pasaran antarabangsa, tumbuhan yang dijual sebenarnya hanyalah hasil pembiakan atau klon daripada spesimen asal yang dikumpulkan lebih 130 tahun lalu.
Habitat asalnya pula terus menjadi misteri.
Segalanya berubah apabila dua pencinta alam, Husni dan Jaz, menemui semula Begonia rajah ketika melakukan aktiviti penerokaan hutan di Terengganu.
Penemuan itu sekali gus menamatkan misteri kehilangan spesies berkenaan selepas lebih 130 tahun.
Menurut Anak Umi Suka Hutan, penemuan tersebut turut membuktikan betapa pentingnya peranan saintis rakyat (citizen scientist) dalam membantu penyelidikan biodiversiti negara.
Apabila mereka menyedari tumbuhan itu mempunyai nilai saintifik yang tinggi, penemuan tersebut dirujuk kepada pakar sebelum disahkan sebagai Begonia rajah.
Apa yang menyedihkan, habitat yang ditemui bukan berada dalam kawasan hutan simpan atau kawasan perlindungan.
Sebaliknya, populasi liar Begonia rajah itu berada di sebuah kawasan kebun yang sedang dibersihkan dan dipercayai telah menggunakan racun.
Keadaan itu menyebabkan tumbuhan berkenaan berisiko lenyap sekali lagi daripada habitat asalnya.
Menurut perkongsian itu, di lokasi berkenaan kini hanya tinggal beberapa pokok sahaja.
Bagi memastikan spesies tersebut terus direkodkan, beberapa spesimen akan dikumpulkan dan dihantar ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk dijadikan herbarium sebagai rekod saintifik bahawa kawasan tersebut pernah menjadi habitat asal Begonia rajah.
Dalam perkongsian itu juga, Anak Umi Suka Hutan mengajak masyarakat, khususnya rakyat Terengganu, supaya bersama-sama mempertahankan khazanah yang menjadi identiti negeri mereka.
Katanya, Begonia rajah bukan sekadar tumbuhan hiasan yang cantik, tetapi merupakan warisan biodiversiti yang tidak boleh diganti jika pupus.
"Bayangkan, ini sahaja tempat dia ni," katanya merujuk kepada lokasi terakhir yang masih menjadi habitat semula jadi Begonia rajah.
Beliau turut menyeru rakyat Terengganu supaya bersama-sama mempertahankan khazanah tersebut.
"Orang Terengganu, kena bangun. Ini identiti awak. Kalau awak ada semangat Terengganu, inilah dia. Anak jati Terengganu," katanya.
Beliau turut menyeru supaya habitat asal Begonia rajah diwartakan dan dipelihara sebelum terlambat.
Jika usaha konservasi gagal dilakukan sekarang, tidak mustahil spesies yang baru ditemui semula selepas lebih satu abad itu akan hilang sekali lagi, kali ini mungkin untuk selama-lamanya.