Siakap Keli
kronologi src
Gambar hiasan | Bernama

Kronologi Penuh 4 Tahun Kes SRC Najib Razak, Dari 3 Julai 2018 Hingga Hari Ini

‘Perjalanan’ empat tahun berakhir, ini kronologi penuh perbicaraan Najib Razak mengenai kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dari 2018 hingga hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Justeru pada hari ini, Malaysia ‘dikejutkan’ dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memuktamadkan hukuman penjara 12 tahun bermula hari ini serta denda RM210 juta ke atas mantan perdana menteri Malaysia yang keenam itu.

Berdasarkan laporan petang tadi, hukuman tersebut adalah berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati rungutan perayu sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.

“Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.

“Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” kata beliau, memetik laporan Bernama hari ini.

Keratan laporan terdahulu

BACA JUGA: Rasmi, Najib Dipenjara 12 Tahun Bermula Hari Ini

Sebelum itu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 turut mengekalkan keputusan itu. Perkara ini menyebabkan Najib, 69, terpaksa menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Kes itu, yang mengambil masa empat tahun, telah menempuh pelbagai situasi termasuk prosidingnya dijalankan secara dalam talian ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

Kronologi penuh kes perbicaraan SRC

Berikut di bawah adalah kronologi penuh kes sepanjang empat tahun bermula 2018 hingga hari ini:

3 Julai 2018 – Najib ditahan di kediamannya dan tiba di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

4 Julai 2018 – Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kredit: Bernama

Didakwa di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan pengubahan wang haram

8 Ogos 2018 – Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

3 April 2019 – Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.

27 Ogos, 2019 – Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 saksi.

11 Nov 2019 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

3 Dis 2019 – Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.

Pembelaan tutup kes selepas 19 saksi memberi keterangan

11 Mac 2020 – Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.

28 Julai 2020 – Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan.

19 Okt 2020 – Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

5 April 2021 – Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di Mahkamah Rayuan.

18 Mei 2021 – Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 15 hari.

Kredit: Bernama

Fail permohonan tangguh keputusan rayuan

23 Nov 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Dis.

24 Nov 2021 – Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.

2 Dis 2021 – Najib Tun Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

3 Dis 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.

7 Dis 2021 – Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Dis berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

Najib & peguam jalani kuarantin

8 Dis 2021 – Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin. Pada hari sama, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

7 Jan 2022 – Najib memohon Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC terlebih dahulu.

25 Jan 2022 – Firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib untuk melantik Peguam Diraja dari UK bagi membantu bekas Perdana Menteri itu dalam isu rumit dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC International beliau di Mahkamah Persekutuan.

2 Mac 2022 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengosongkan tarikh pendengaran rayuan kes itu susulan dakwaan terdapat bukti baharu dalam usaha beliau untuk mengetepikan sabitan dalam kes SRC International yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.

Gagal kemukakan bukti baharu SRC

16 Mac 2022 – Najib gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes SRC.

11 April 2022 – Najib melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

25 April 2022 – Najib memfailkan petisyen rayuan dan mengemukakan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan dalam kes SRC International.

29 April 2022 – Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.funds.

31 Mei 2022 – Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja dari United Kingdom memfailkan notis usul saman pemula bagi mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

Kredit: Astro Awani

Fail permohonan kemuka bukti tambahan

7 Jun 2022 – Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes SRC International.

13 Jun 2022 – Pendakwaan memfailkan afidavit bagi membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

16 Jun 2022 – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib.

27 Jun 2022 – Majlis Peguam memfailkan afidavit membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International.

21 Julai 2022 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir kes SRC International.

Najib gugur khidmat peguam serta-merta

26 Julai 2022 – Najib telah menggugurkan serta-merta perkhidmatan Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan dan pada masa sama, peguam Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama untuk mewakili Najib.

Kredit: Bernama

15 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan untuk meminda notis usul Najib bagi mengemukakan bukti baharu dalam rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

16 Ogos 2022 – Najib gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu pada rayuan terakhir kes SRC International.

16 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan bagi kes SRC International dan menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan itu.

18 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International.

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan peguam

18 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib Tun Razak dalam rayuan akhir.

19 Ogos 2022 – Pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Persekutuan.

19 Ogos 2022 – Najib menamatkan khidmat peguam caranya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), daripada mewakilinya dalam rayuan akhir.

23 Ogos, 2022 – Najib memohon supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kesnya membabitkan dana SRC International.

Kredit: Bernama

23 Ogos 2022 – Muhammad Shafee gagal menangguhkan hujahan bagi prosiding agar Ketua Hakim Negara menarik diri daripada mendengar rayuan Najib.

BACA JUGA: Rasmi, Najib Dipenjara 12 Tahun Bermula Hari Ini

Sumber: BERNAMA

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma