“Maafkan saya daddy”. Itulah ungkapan yang mampu diucapkan oleh anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Nooryana Najwa binti Najib selepas mahkamah memutuskan ayahnya kekal dengan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta.
Menerusi sebuah foto yang dimuat naik di Instagram, hantaran itu memaparkan dua tangan yang dipercayai tangan ayahnya yang digenggam erat bersama.
“Mungkin kita tidak cukup berjuang. Mungkin kita meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada sistem keadilan kita.
“Mungkin kita terlalu percaya dengan sepenuh hati dalam matlamat dan tujuan kita sehingga kita menentangnya selama empat tahun ini,” katanya dalam hantaran itu sebentar tadi.
View this post on Instagram
Tambah anak Ahli Parlimen Pekan itu, dia menyifatkan bahawa hari ini bukanlah satu ‘keadilan’ untuk ayahnya setelah sosok itu berjuang menafikan pertuduhan berkenaan sejak empat tahun lalu.
Dalam masa sama, Najwa juga optimis menekankan bahawa perjuangan tersebut belum terhenti.
“Tetapi Bossku tidak berakhir di sini.
“Saya berjanji kepada awak (Najib) bahawa Mummy, Ashman, Abang Jaja, saya (Najwa) dan semua orang yang menyokong tidak akan pernah berehat sehingga awak kembali bersama kami dan keadilan ditegakkan,” tulisnya lagi.
Meskipun Najib secara rasminya memulakan hukuman penjara mulai hari ini, namun bagi Najwa, dia sangat berbangga dengan kekuatan ayahnya itu.
“Saya akan berpegang pada kata-kata perpisahan ayah dengan saya setiap hari, “Mereka boleh mengawal segala-galanya tetapi mereka tidak dapat mengawal emosi dan kekuatan fikiran”.
“Tetap kuat, Allah bersamamu ayahku. Saya sentiasa bersama ayah, untuk sekarang dan selamanya,” katanya.
Najib disahkan dipenjara mulai hari ini

Imbas kembali laporan terdahulu, seperti yang dimuktamadkan oleh Mahkamah Persekutuan, Najib Razak secara rasminya akan menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati rungutan perayu sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.
“Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.
Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” kata beliau, memetik Bernama hari ini.
Sumber: Instagram yananajib