Amy Search Terima Darjah Pangkuan Seri Melaka Yang Membawa Gelaran Datuk
Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy, vokalis kumpulan Search dilaporkan telah menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk, lapor Astro Awani.
Pingat tersebut telah dianugerahkan sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73 hari ini.
Menurut laporan, Amy merupakan satu-satunya penggiat seni yang menerima pingat tersebut.
Amy, 64, mengucapkan setinggi penghargaan kepada Tun Mohd Ali Rustam, dan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Sri Ab Rauf Yusoh di atas kurniaan yang diterimanya selepas 42 tahun menjadi anak seni.
Menurut Amy, penganugerahan yang dikurniakan kepadanya merupakan satu tanggungjawab dan pengiktirafan buat seluruh karyawan hiburan.

“Dengan dikurniai pingat ini, ia memberi saya lebih tanggungjawab demi menjadi teladan yang lebih baik dan pingat ini sebenarnya juga bukan untuk saya secara individu tetapi adalah mengiktiraf bahawa anak seni atau karyawan hiburan juga memainkan peranan penting dalam sosio ekonomi kita,” katanya lagi.
Sumber : Astro Awani
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”