Ibu Bapa Perlu Tahu, Ini Dua Cara Nak Mohon Kemasukan Ke Prasekolah
Apabila anak-anak sudah menjengah ke usia empat atau lima tahun, kebanyakan ibu bapa pada masa kini akan mula ‘berhempas pulas’ memastikan mereka dapat memasuki alam prasekolah.
Pastinya setiap ibu bapa mempunyai sekolah pilihan yang tersendiri, sama ada ingin menghantar anak ke sekolah swasta atau kerajaan.
Tetapi apa yang pasti, mereka kebiasaannya perlu ‘bersaing’ untuk mendaftarkan anak masing-masing.
Bagi yang ingin menghantar anak-anak ke prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), anda perlu melakukan permohonan terlebih dahulu dan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Justeru, kali ini SK akan berkongsikan dua cara untuk membuat permohonan tersebut.
Dua cara mohon kemasukan ke prasekolah KPM
Seperti yang dinyatakan KPM, ibu bapa boleh memohon menerusi dalam talian melalui laman sesawang KPM disini.
Sebelum membuat permohonan, ibu bapa perlulah mendaftar di laman sesawang tersebut terlebih dahulu.
Selepas selesai mengisi segala maklumat dan menghantar permohonan, borang permohonan hendaklah dicetak dan perlu dihantar ke sekolah yang dimohon berserta dokumen-dokumen berkaitan.
Kebiasaannya tempoh permohonan secara dalam talian bermula pada 1 Mac hingga 30 April setiap tahun.
Borang dan dokumen yang berkaitan juga perlu dikemukakan kepada pihak sekolah selewat-lewatnya pada 31 Mei.
Perlu diingatkan bahawa permohonan ini harus dilakukan pada tahun sebelum anak-anak mula persekolahan.
Sementara itu, bagi ibu bapa yang tidak mahu membuat permohonan secara dalam talian, anda juga boleh melakukannya secara manual.
Ibu bapa boleh mengambil borang permohonan yang dicetak oleh pihak sekolah dan menghantar sendiri borang yang lengkap berserta dokumen-dokumen berkaitan ke sekolah yang dimohon.
Tempoh permohonan secara manual ini bermula pada 1 Mac hingga 31 Mei tahun sebelumnya.
Syarat kelayakan
Sebelum menghantar borang permohonan, ibu bapa perlulah meneliti terlebih dahulu syarat kelayakan.
Pertama, prasekolah KPM hanya dibenarkan untuk kanak-kanak warganegara Malaysia sahaja.
Selain itu, ia juga untuk kanak-kanak yang mencapai umur empat tahun pada 1 Januari tahun persekolahan semasa (bagi kohort 3+ kanak-kanak yang lahir pada 2 hingga 15 Januari juga dibenarkan untuk memohon).
Akhir sekali, pemilihan murid dilakukan berdasarkan merit.
Semak permohonan
Untuk menyemak keputusan permohonan kemasukan prasekolah tersebut, anda boleh melakukannya disini.
Sumber: KPM