Siakap Keli
Kredit: Facebook

“Annyeong…” Wanita Kongsi Resipi Mudah Jeruk Sayuran Korea ‘Kimchi’, Tiga Bahan Ni Je

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Teringin hendak makan kimchi… tetapi susah nak dapatkan yang ‘fresh‘. Jangan risau! Wanita ini kongsikan resipi kimchi mudah untuk anda ikuti. Bahan-bahannya mudah didapati serta ‘mesra tempatan’.

Sejak Fenomena Hallyu yang berlaku sejak 1999, identiti Korea semakin tidak asing dalam masyarakat global, termasuklah Malaysia. Kini, satu hari bagaikan tidak lengkap jika kita tidak mendengar lagu Korea di corong radio, walaupun sekali.

Bukan itu sahaja, malah hari ini tontonan kegemaran rakyat Malaysia di kaca televisyen sudah didominasi dengan drama dan rancangan realiti yang berasal daripada negara tersebut.

Segala yang ditampilkan dalam rancangan-rancangan tersebut, sudah semestinya mempengaruhi kita untuk mencubanya. Fesyen, peralatan elektronik dan sudah semestinya benda yang tidak dapat ditolak godaannya, iaitu makanan!

Walaupun kita tidak pernah merasainya, namun penampilan makanan dalam rancangan-rancangan tersebut sudah tentu memberikan ‘tanda soal’ mengenai rasanya. Dalam banyak-banyak makanan Korea yang popular, sudah tentu kimchi menduduki tangga teratas.

Mana tidaknya, jeruk sayur asal Korea ini dilihat sebagai satu hidangan yang fleksibel. Boleh dijadikan lauk, perisa mi segera mahupun makan begitu sahaja. Kiranya, kalau di Malaysia, kimchi ini boleh dikatakan setaraf dengan sambal.

Namun, makanan luar negara ini sukar untuk didapati di Malaysia. Kalau ada, mesti ia sudah lagi tidak segar ataupun dijual dengan harga  setinggi  Namsan Tower. Walau  bagaimanapun, jangan risau. Rakyat Malaysia kan kreatif dan inovatif, mesti ada sahaja resepi makanan luar negara yang diubah suai mengikut lokaliti negara kita.

Menurut hantaran Puan Aisyah Humaira menerusi kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN), beliau telah berkongsi satu resepi kimchi yang mudah, dari segi mendapatkan bahan mahupun membuatnya. Rasanya ranggup, segar, pedas, masam, masin dan manisnya sempurna, dengan sedikit rasa lemak-lemak daripada serbuk cili.

Dalam resepi ini, terdapat tiga bahagian bahan-bahan, iaitu bahan untuk sayur, pes dan bahan kisar.

Bahan sayur:

  • 1 biji kobis panjang bersaiz besar
  • 1 batang lobok merah- dihiris halus secara memanjang
  • 1 tangkai daun bawang
  • 1 genggam daun kucai
  • ½ biji sengkuang dihiris nipis memanjang
  • 1 sudu kecil kacang bijan kering (optional)
Kredit: Facebook

Bahan pes:

  • 4 sudu besar serbuk cili Babas atau mengikut pedas disukai
  • 4 susu besar cili kisar atau pes cili
  • 6 sudu besar cuka makan
  • 3 sudu besar minyak bijan
  • sos ikan secukup rasa
  • gula dan garam secukup rasa
Kredit: Facebook

Bahan kisar:

  • 1 biji epal Fuji
  • ½ biji buah lai atau pear
  • 2 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 sudu makan udang kering

Cara-cara membuatnya:

Pertama, cuci kobis hingga bersih. Hiriskan mengikut saiz yang disukai dan tabur garam kasar bagi setiap helaian kobis dan perap selama satu jam.

Kemudian, setelah diperap, bilas kobis tersebut dengan menggunakan air sambil mengurut-urut hirisan kobis dengan sangat lembut. Ini adalah untuk membuang kandungan air masin dalam kobis tadi. Urutkan hirisan kobis sehingga tiada kandungan air di dalamnya. Ini untuk mengelakkan kimchi anda daripada menjadi terlalu berair.

Setelah itu, sediakan bekas besar dan masukkan semua bahan pes dan bahan kisar ke dalamnya. Kacaukan bahan-bahan sehingga sebati. Selepas itu, cuba rasa dan tambah apa-apa jenis perasa yang perlu ditambah mengikut cita rasa anda. Pes kimchi yang baik mesti mengandungi rasa pedas-pedas, manis dan masin yang seimbang.

Kredit: Facebook

Jadi sekarang, masukkan kobis ke dalam bekas yang berisi pes tadi bersama semua bahan sayur di atas dan ratakan pes pada keseluruhan sayur.

Akhir sekali, hidangan kimchi sudah pun siap. Rasanya enak dimakan ketika ia baru siap, anda boleh menikmati rasa rangupnya.  Jika tidak habis, anda boleh menyimpan dalam peti sejuk untuk proses penjerukan.

Kredit: Facebook

Kimchi stail Malaysia ini sangat mudah dibuat. Bukan itu sahaja, rasanya masih boleh diterima oleh pelbagai lapisan umur. Kanak-kanak suka, warga emas pun suka. Kalau semua orang dapat menikmati masakan kita, hati kita akan rasa gembira dan mendorong kita untuk masak lagi dan lagi.

Akhir sekali, kimchi merupakan satu kaedah untuk menggalakkan kanak-kanak untuk menjamah sayur-sayuran. Perapan pada sayur tersebut telah menghilangkan rasa ‘tidak sedapnya’. Mungkin inilah satu cara baharu untuk memastikan mereka tidak meninggalkan sayur-sayuran lagi.

Warna-warni pada hidangan itu juga mampu menarik minat kanak-kanak untuk memakannya. Kini, ibu perlu menjadi kreatif untuk memastikan anaknya mengamalkan diet permakanan yang seimbang.

BACA JUGA: Makan Kimchi Boleh Kurus Dan Kurangkan Kolestrol – Kajian

Sumber: Aisyah Humaira via Masak Apa Hari Ni (Facebook)

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.