Siakap Keli
Gambar hiasan | Kredit: Pixabay & Pexels

Diberi Minuman Soda Selama Dua Bulan Eksperimen, Tikus Jadi Lalok & Sangat ‘Lembab’

Diberi minuman soda sebagai sumber makanan utama selama dua bulan menjalani satu eksperimen, akhirnya tikus yang diuji menjadi lalok dan sangat lembab berbanding sebelumnya.

Para saintis telah melakukan uji kaji terhadap beberapa ekor tikus dengan memberikan minuman soda kepada haiwan tersebut. Perkara yang mengejutkan apabila minuman soda itu telah memberikan kesan buruk kepada tikus-tikus tersebut. Tikus-tikus tersebut menjadi ‘bodoh’ selepas diberikan minuman soda, yang sudah sedia maklum dipercayai tidak berkhasiat.

Menurut satu kajian terbaharu, sekumpulan saintis mendapati bahawa minuman ringan (soft drink) mampu memberikan kesan-kesan dahsyat kepada tikus-tikus. Kesan-kesan tersebut mempengaruhi otak makhluk tidak bernasib baik tersebut seperti mencetuskan masalah ingatan, kognitif serta aktiviti sel menjadi lemah. Masalah-masalah ini kelihatan mirip seperti kekangan pembelajaran yang dihadapi oleh manusia.

Gambar hiasan | Pixabay

Sudah semestinya, soda bukanlah satu minuman yang menawarkan kebaikan kepada badan manusia. Minuman sebegini sudah semestinya mengandungi pemanis yang agak tepu, sama ada semula jadi mahupun tiruan. Setakat ini, terdapat beberapa kajian lepas yang telah membuktikan kandungan gula yang terdapat dalam minuman sebegini mampu membawa kepada banyak masalah kesihatan.

Antaranya diabetes, sakit jantung, gigi rosak dan komplikasi pada buah pinggan. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa minuman ringan tidak sepatutnya dijadikan amalan harian.

Menurut hasil dapatan bagi kajian terbaharu ini, pengambilan gula berlebihan secara konsisten dalam jangka masa panjang, khususnya minuman soda memberi kesan secara langsung kepada kesihatan otak dan masalah tingkah laku. Secara ringkas, jika anda adalah seekor tikus yang terlibat dalam eksperimen ini, anda tidak mampu mencari jalan keluar dari sebuah pagar sesat (maze).

Bagaimana Kajian Ini Dijalankan?

Dalam kajian tersebut, para saintis telah mengasingkan tikus-tikus makmal kepada tiga kumpulan usia iaitu dua bulan, lapan bulan dan 14 bulan. Setiap kumpulan umur tersebut kemudiannya dibahagikan lagi mengikut jenis minuman, air mineral dan minuman soda.

Kajian itu dijalankan selama 57 hari. Dalam jangka masa tersebut, para saintis menjalankan pelbagai jenis ujian terhadap subjek seperti ujian pagar sesat berdasarkan tingkah laku subjek. 10 hari kemudian, tikus-tikus tersebut dibius agar para saintis boleh memeriksa jika terdapat sebarang perubahan pada otaknya.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Hasil Dapatan Kajian

Keputusannya telah menepati andaian yang diberikan pada awal kajian, iaitu tiada masalah direkodkan bagi tikus-tikus yang diberikan air mineral.  Bagi tikus-tikus yang mengambil minuman soda, dikhabarkan bahawa keputusannya tidak begitu ‘cantik’.

Semasa ujian tingkah laku, para saintis mendapati bahawa tikus-tikus yang diberikan minuman soda, terutamanya yang berusia dua bulan dan lapan bulan memiliki daya ingatan yang lemah. Secara amnya, fungsi kognitif tikus-tikus tersebut lebih rendah daripada kumpulan tikus yang lain. Perkara ini mengakibatkan ia menghadapi kesukaran semasa ujian pagar sesat dijalankan.

Selain itu, para saintis juga mendedahkan keputusan pemeriksaan otak subjek kajian tersebut dan ia tidak mengejutkan. Semua tikus yang diberikan minuman soda mengalami pelbagai tahap kerosakan pada korteks hadapan iaitu bahagian otak yang mengawal fungsi mental penting seperti perhatian, ingatan dan pertimbangan. Bahagian hipokampus, yang memainkan peranan utama dalam ingatan dan pembelajaran juga turut terkesan.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Gambaran masalah neurologi yang mungkin dialami manusia berdasarkan keputusan eksperimen

Kerosakan neurologi tidak pernah menjadi satu perkara yang positif. Jika seekor tikus tidak dapat keluar dari pagar sesat, ia hanyalah masalah kecil. Tetapi bagi manusia, ia merupakan satu masalah yang serius. Kerosakan korteks hadapan dalam otak manusia dikaitkan dengan perubahan personaliti dan bersikap terlalu impulsif. Manakala kecederaan pada hipokampus pula dianggap berkait rapat dengan beberapa penyakit mental seperti kebimbangan (anxiety), kemurungan (depression), gangguan bipolar, skizofrenia dan banyak lagi.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Penting untuk diingatkan semula bahawa kajian tersebut mengkaji daripada sudut pendedahan jangka masa panjang lama. Jika seekor tikus yang hampir tidak menyentuh minuman ringan, keadaan otaknya kurang terjejas dan kembali dalam keadaan asal secara sepenuhnya. Keadaan ini sangatlah berbeza dengan keadaan otak tikus yang sudah lama menjamah minuman ringan, seperti mana kita menjamah makanan ruji dalam kehidupan seharian.

Akhir sekali, walaupun kajian ini mengenakan subjek kajian ‘bukan manusia’, keburukan minuman ringan tidak boleh dinafikan. Usaha mencari manfaatnya, bagaikan menegakkan benang yang basah. Kita wajarlah menjalankan gaya hidup sihat dengan mencari alternatif lain bagi minuman ringan, seperti jus buah-buahan segar, teh herba dan sebagainya.

BACA JUGA: Alami Ketagihan Melampau, Lelaki Dakwa Teguk 30 Tin Air Minuman Ringan Bergas Sehari Selama 20 Tahun

Sumber: Futurism

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.