Siakap Keli
ketahui apa itu penyakit pica
Gambar: Google

Ketagih Makan Sabun Salah Satu Darinya, Ketahui Apa Itu Penyakit Pica & Puncanya

Ketagih Makan Sabun Salah Satu Darinya, Ketahui Apa Itu Penyakit Pica & Puncanya

Dalam dunia ini, ada pelbagai perkara yang tidak masuk akal berlaku sehingga kadang kala dilihat melebihi batas normal manusia. Bagaimanapun, ia merupakan realiti yang sememangnya menjadi sebahagian daripada ‘rencah’ kehidupan.

Justeru, tidak hairanlah jika ada individu yang mempunyai selera makan yang agak pelik sehingga menjadi ketagih.

Bercakap mengenainya, sebelum ini mungkin anda pernah mendengar mengenai beberapa individu yang sangat gemar memakan rambut, malah lebih ‘menakutkan’, ada yang menjadikan pisau cukur sebagai makanan rutin.

Bukan itu sahaja, ada juga yang turut ketagih dengan sabun dan pelbagai jenis lagi barangan yang tidak sepatutnya dimakan.

Rupa-rupanya keadaan ini sebenarnya dikaitkan dengan masalah kesihatan yang dipanggil sebagai Pica.

Apa itu Pica?

Untuk pengetahuan anda, Pica adalah keadaan kesihatan mental yang memperlihatkan seseorang menelan barang bukan makanan secara paksa.

Bergantung pada masa dan sebab seseorang melakukannya, ia boleh menjadi normal, dijangka dan tidak berbahaya. Pun begitu, masalah besar akan berlaku jika mereka memakan sesuatu yang toksik dan berbahaya.

Selain yang telah dinyatakan di atas, antara barangan yang sering dimakan adalah abu, bedak talkum, kapur, arang, tanah liat, serbuk kopi, kulit telur, tali atau benang dan najis (dalam apa jua bentuk).

Biasanya berlaku pada tiga golongan

Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada sebarang peringkat umur tetapi cenderung berlaku dalam tiga golongan iaitu kanak-kanak terutamanya yang berumur bawah 6 tahun, wanita mengandung dan orang yang mempunyai keadaan kesihatan mental tertentu seperti gangguan spektrum autisme, ketidakupayaan intelektual dan skizofrenia.

Kebiasaannya, mereka yang mempunyai masalah ini sangat sukar untuk mengawal keinginan mereka sendiri.

Kesan makan barang bukan makanan

Sementara itu, Pica mempunyai pelbagai kesan yang bergantung kepada jenis barangan yang dimakan seseorang.

Ia menyebabkan irama jantung tidak teratur, usus kecil dan usus besar tersumbat, anemia, ascariasis, sembelit ketidakseimbangan elektrolit dan keracunan plumbum.

Bagi yang gemar memakan ais, ia sememangnya tidak berbahaya kepada tubuh badan.

Namun keadaan berbeza apabila ada yang ketagih memakan sabun. Walaupun kebanyakan jenis sabun badan, syampu atau perapi adalah tidak toksik tetapi ia boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit-birit.

Malah lama-kelamaan ia boleh membawa kepada komplikasi kesihatan seperti kerosakan hati dan meningkatkan risiko kanser.

Apakah sebenarnya yang menyebabkan Pica?

Sehingga kini, pakar kesihatan masih tidak tahu dengan tepat punca berlakunya keadaan Pica.

Pun begitu, mereka mengetahui faktor tertentu yang meningkatkan risiko keadaan tersebut.

Salah satunya adalah disebabkan oleh kekurangan nutrisi iaitu pesakit akan sering mengalami kekurangan mineral, zat besi, kalsium dan zink dalam diet mereka.

Selain itu, ia juga berkait dengan tingkah laku yang biasa diterima oleh masyarakat dalam budaya dan agama tertentu.

Kaedah rawatan

Kaedah utama rawatan untuk Pica adalah terapi yang bergantung pada situasi dan keperluan individu.

Terapi aversif ringan

Kaedah ini memperlihatkan pesakit akan diajar untuk mengelak daripada memakan barangan bukan makanan dengan menekankan akibatnya dan secara positif mengukuhkan tingkah laku pemakanan sihat.

Terapi tingkah laku

Terapi ini melibatkan pengajaran mengenai mekanisma dan strategi bagi mengatasi ketagihan dengan membantu mereka mengubah tingkah laku.

Pengukuhan pembezaan

Menerusi terapi ini, pesakit akan belajar untuk mengelakkan tingkah laku Pica dengan memberi tumpuan kepada aktiviti lain.

Sumber: Cleveland Clinic, Healthline, Hello Doktor

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.