Siakap Keli
Najib Razak
Gambar via Bernama

Najib Kekal Jalani Hukuman Di Penjara Kajang – Pegawai Khas

Najib kekal jalani hukuman di Penjara Kajang – Pegawai Khas Najib

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipercayai akan kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Pegawai Khas kepada bekas perdana menteri itu, menurut laporan BERNAMA.

Sementara itu, menerusi laporan Utusan Malaysia pula, satu sumber mendedahkan kepada portal berita berkenaan bahawa waran yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah menyatakan Najib Razak sememangnya perlu menjalani hukuman di penjara berkenaan.

Bagaimanapun, pihak peguam dan keluarga boleh membuat permohonan kepada Jabatan Penjara untuk mempertimbangkan agar memindahkan Najib ke Penjara lain tetapi bergantung kepada alasan yang munasabah, lapor Utusan Malaysia lagi.

Jabatan Penjara dipercayai akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkenaan perkara itu. Sebelum ini, Najib dilapor ditempatkan di Penjara Kajang sementara waktu bagi menjalani ujian saringan kesihatan dan beberapa prosedur lain.

Menurut Utusan Malaysia yang memetik kenyataan sumber lain pula, layanan dan kemudahan yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu adalah sama seperti kebanyakan orang berdasarkan ketetapan akta, peraturan dan prosedur Jabatan Penjara Malaysia.

Tiada sebarang layanan istimewa diberikan dan beliau perlu melalui proses berkenaan seperti yang telah diperuntukkan dalam undang-undang peraturan penjara. Mahkamah akan mengeluarkan waran di mana tertuduh akan menjalani hukuman mereka.

Penjara yang telah diwarankan juga perlu menerima mereka seperti yang dinamakan dalam waran itu bagi menjalani hukuman tertakluk kepada keputusan Mahkamah.

Jabatan Penjara kemudiannya akan membuat penilaian dan sekiranya ada keperluan, Pengarah Penjara mempunyai kuasa untuk memindahkan mana-mana banduan ke penjara yang bersesuaian dengan melihat keadaan semasa banduan.

Penjara juga boleh mempertimbangkan untuk pengasingan sel. Memandangkan kes ini adalah beprofil tinggi. Pertimbangan dibuat berdasarkan keselamatan penjara dan banduan itu sendiri.

Terdahulu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM 210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Sumber: Utusan Malaysia

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka