Peninju UFC profesional Rusia, Khabib Nurmagomedov mendedahkan bahawa dia tidak akan sesekali terima atau membenarkan penaja syarikat judi menaja pasukannya, lapor Sportskeeda.
Dalam satu temu bual Eagle FC bersama pemberita baru-baru ini, Khabib sebaliknya menegaskan bahawa pasukannya sudah mempunyai penaja yang lebih baik untuk bekerjasama.
Malah jelas Khabib, difahamkan perjudian adalah hampir serupa dengan ketagihan dadah dan ia tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukannya.
“Kami mempunyai banyak penaja yang baik untuk bekerjasama dalam menganjurkan acara perlawanan. Kami tidak memerlukan ‘penjudi’.
“Saya percaya bahawa judi lebih berbahaya daripada arak. Saya rasa lebih teruk mempromosikan perjudian berbanding minuman beralkohol. Ia merosakkan seluruh pasukan,” katanya kepada pemberita dalam temu bual itu.
Tak hairan duit, kekal tegas dengan prinsip
Dalam pada itu, figura UFC itu turut ditanya tentang tawaran tajaan yang mewah, duit yang banyak dan seumpamanya daripada syarikat judi tersebut.
“Adakah kamu pernah terfikir yang pasukan kamu akan terlepas peluang mendapatkan duit yang banyak? Mereka (penaja) biasanya akan beri ratusan atau ribuan dolar,” tanya pemberita.
Namun dengan tenang Khabib menjawab, fokusnya hanyalah kepada sukan tinju yang dianjurkan dan bukan pada penaja, lebih-lebih lagi ia melibatkan unsur judi.

“Ya..mereka memang bayar duit dengan jumlah yang banyak. Ia adalah satu promosi memandangkan syarikat judi itu sebagai penaja utama dan mereka tidak perlukan yang lain.
“Tapi kami bukan ke arah itu. Kami fokus tumpu perhatian kepada produk (perlawanan) yang kami persembahkan kepada penonton. Satu-satunya perkara yang kami promosi ialah sukan.
“Kami tidak mahu penonton menonton perlawanan (anjuran kami) dan turut melihat iklan minuman beralkohol atau judi. Saya tidak mahu orang tahu tentang ‘kewujudan’ penaja tersebut hingga pergi ke laman (web) mereka dan mula ketagih berjudi. Itu sangat penting,” tegasnya.
Dia menegaskan bahawa dirinya tidak mahu generasi muda di bawahnya akan terjebak dengan ketagihan judi, manakala wang bukanlah sesuatu masalah (yang memaksa individu untuk berjudi).
Imbas kembali, juara UFC Lightweight dari wilayah majoriti Muslim, Dagestan di Rusia itu merupakan pengasas kepada pasukan tinju Eagle FC.
Difahamkan Khabib membeli pasukan tersebut yang ketika itu dinamakan sebagai Gorilla Fighting Championships sebelum ditukar menjadi Eagle FC selepas mengumumkan persaraannya pada 2019 lalu.
Meskipun sudah bersara, namun bermula dari itu dia didapati semakin aktif dalam penganjuran kejohanan sukan tinju tersebut.
'Bookmakers ruin entire families – they are worse than alcohol' @TeamKhabib on why Eagle FC will never be sponsored by betting sites pic.twitter.com/ibUWJ3BEjQ
— Eagle FC (@EagleFightClub) August 24, 2022
Sumber: Sportskeeda