Roti Gardenia Bakal Naik Harga 1 September Ini, Roti ‘Original Classic’ Kini RM3
Pengeluar produk roti Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) memaklumkan mengenai kenaikan harga bagi produknya di Semenanjung Malaysia bermula 1 September ini.
Memetik laporan Sinar Harian, ia adalah susulan daripada pengemaskinian harga terhadap 53 jenis produk roti Gardenia.
Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bakeries (KL) Koh Chin Huat berkata pihaknya telah sedaya upaya mengekalkan harga jualan sebelum ini.
“Tetapi disebabkan harga bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran yang meningkat secara berterusan, menyebabkan perubahan harga perlu dilaksanakan.
“Kami akan sentiasa komited untuk mengekalkan kualiti produk di tahap yang optimum untuk kepuasan semua pelanggan dan pengguna kami,” katanya.
Antara harga produk yang dinaikkan adalah membabitkan roti Gardenia Original Classic yang naik 20 sen kepada RM3, manakala harga Gardenia Original Classic Jumbo naik 30 sen kepada RM4.30.
Sementara itu, roti bijiran gandum penuh Gardenia akan dijual pada harga RM4 dan roti Bran & WheatGerm RM3.50.
Roti krim QuickBites pula naik 10 sen menjadi RM1.10 dan roti sambal bilis kini berharga RM1.50.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai surat perubahan harga produk roti Gardenia yang dipercayai dihantar kepada peruncit.
BACA JUGA: (Video) Akak Ni ‘Bakar’ Roti Gardenia Inti Dalam “Air Fryer”, Hasilnya Sedap & Buat Anak-anak Teruja
Sumber: Sinar Harian