Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hujan lebat dan banjir besar yang melanda Pakistan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,033 nyawa termasuk 348 kanak-kanak serta 1,527 lagi cedera setakat ini, lapor CNN News.
Manakala menurut Pihak Pengurusan Bencana Negara (NDMA) seperti yang dilapor CNN News, seramai 199 mangsa meninggal dunia dan 71 lagi cedera hanya dalam tempoh 24 terakhir.
Difahamkan, bencana alam itu telah menjejaskan sekurang-kurangnya 33 juta penduduk di sekitar Pakistan buat masa ini.
Sementara itu, Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman berkata, beliau menyifatkan banjir besar itu sebagai bencana yang terburuk pernah berlaku di Pakistan sejak 10 tahun kebelakangan ini.

“Pakistan sedang mengalami kitaran monsun kelapan di negara ini dan biasanya hanya tiga atau empat sahaja kitaran monsun yang dialami. Perkara itu membuatkan peratusan banjir yang teruk,” katanya pada Khamis, memetik CNN News.
Tambah Rehman, beliau menegaskan banjir itu memberi kesan hingga ke atas selatan Pakistan dan bantuan kemanusiaan kini sedang diusahakan semaksimum mungkin.
Dalam pada itu, sebanyak satu juta khemah bantuan diedarkan ke wilayah selatan Sindh yang terjejas, manakala 100,000 khemah lagi diedarkan ke wilayah berdekatan Balochistan yang difahamkan turut mengalami gangguan bekalan elektrik, gas dan internet terputus.
“Keutamaan Pakistan buat masa kini adalah misi bantuan bencana kemanusian dan saya menggesa masyarakat global untuk memberikan bantuan dengan segera memandangkan sumber sangat terhad,” maklum Rehman.
Sementara itu, pasukan tentera juga dikerahkan untuk membantu misi bantuan dan menyelamat di kawasan yang dilanda banjir, maklum Kementerian Dalam Negeri Pakistan dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pasukan tentera dikerahkan ke empat wilayah Pakistan termasuk di wilayah Barat Daya, Balochistan yang paling teruk terjejas setakat ini.
Pusat pemindahan juga dibuka di beberapa kawasan bahagian negara untuk aktiviti pengagihan barangan bantuan banjir seperti tempat tinggal, makanan dan rawatan perubatan kepada mangsa, lapor Angkatan Tentera Pakistan.

Terdahulu dalam laporan Siakap Keli sebelum ini, kerajaan Pakistan telah mengisytiharkan darurat di negara itu.
Memetik BBC, orang ramai terpaksa mencari tempat perlindungan sementara dengan berlindung di khemah-khemah usang di bandar lama Sukkur daerah Sindh. Difahamkan, ramai yang hanya duduk di atas katil disebabkan semua barangan rumah mereka telah hanyut ditelan air.
Selain itu, banyak juga laluan bertar ditenggelami air sekaligus mengehadkan pergerakan mangsa untuk mencari kawasan selamat.
Sisa-sisa plastik juga dimuntahkan keluar dari lubang paip kumbahan dan terdapat air yang bertakung. Keadaan ini menyebabkan penduduk bimbang jika air yang bertakung dan tidak mengalir itu akan mencetuskan pelbagai penyakit.
Difahamkan, hujan turun sepanjang minggu itu dan telah mengehadkan masa mereka untuk pulang ke rumah melihat barang-barang yang masih boleh diselamatkan.
“Beberapa buah rumah di pusat bandar telah dilaporkan musnah, hanya tinggal dinding. Di wilayah Sindh sahaja, 300 mangsa telah terkorban disebabkan banjir.
“Orang ramai terpaksa mencari kawasan tanah kering yang masih tersisa untuk memasang khemah kerana dijangka hujan akan berterusan,” lapor BBC.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Shehbaz Sharif berkata, 33 juta orang telah terjejas disebabkan oleh kejadian banjir yang melanda. Mereka juga merayu lebih banyak bantuan antarabangsa.
Menurutnya lagi, kerugian akibat banjir musim ini adalah setanding dengan kerugian semasa banjir pada tahun 2010 dan 2011.
BACA JUGA: Banjir Dahsyat Landa Pakistan, Lebih 900 Terkorban Setakat Ini & Jutaan Lagi Terjejas
Sumber: CNN News